Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pertubuhan agama bukan Islam digesa teruskan kerjasama dengan kerajaan

TEo Chee Kang (tengah) yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, menyerahkan replika cek kepada pelbagai pertubuhan bukan Islam di Sabah dalam  majlis Jamuan Amal Vegetarian Menderma 2015 anjuran Pertubuhan Budha BLIA Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, di sini malam ini. - foto Ille Tugimin
TEo Chee Kang (tengah) yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, menyerahkan replika cek kepada pelbagai pertubuhan bukan Islam di Sabah dalam majlis Jamuan Amal Vegetarian Menderma 2015 anjuran Pertubuhan Budha BLIA Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, di sini malam ini. – foto Ille Tugimin

KOTA KINABALU – Hubungan baik di antara pemerintah dan pertubuhan agama bukan Islam di negeri ini mencerminkan keterbukaan kerajaan terhadap amalan konsep kebebasan beragama yang termaktub dalam Perlembagaan negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, usaha tersebut dititikberatkan oleh kerajaan sebagai aspek penting dalam mengekalkan keharmonian rakyat berbilang agama dan kaum di Malaysia khususnya di Sabah.

“Dalam tempoh saya berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sabah, kerajaan telah menyediakan tabung serta bantuan kepada beberapa kumpulan agama untuk membantu mereka menjalankan aktiviti dan program masing-masing.

“Tahun lalu sahaja, kerajaan negeri memperuntukan kira-kira RM31 juta bagi membantu membaiki dan membangunkan sekolah-sekolah agama dan Cina di Sabah,” katanya ketika berucap dalam majlis Jamuan Amal Vegetarian Menderma 2015 anjuran Pertubuhan Budha BLIA Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, di sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Teo Chee Kang. Melalui penganjuran majlis itu, sebanyak 150 kerusi roda bakal diagihkan kepada pelbagai pertubuhan kebajikan di negeri ini.

Musa berkata, kesaksamaan kerajaan dalam mentadbir negeri ini membolehkan rakyat berbilang bangsa bukan sahaja boleh duduk bersama tetapi juga bekerja dalam satu kumpulan mahupun organisasi dengan tujuan yang sama iaitu membantu kerajaan membangunkan negara.

“Semua ini menunjukkan betapa Malaysia adalah sebuah negara yang benar-benar memberikan penekanan terhadap amalan hormat-menghormati di antara kaum dan kepercayaan agama yang dianuti oleh rakyatnya,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap BLIA akan meneruskan kerjasama dan berganding bahu dengan kerajaan Barisan Nasional bagi membantu komuniti yang memerlukannya termasuk dari sudut pendidikan kepada pelajar kurang berkemampuan di negeri ini. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan