Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pertaruhan Piala Dunia: 42 ditahan di Sabah

PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Ramli Din (kanan) menunjukkan antara gambar operasi mencegah jenayah semasa sidang media di IPD, Kudat. – Foto Lano Lan

 

KUDAT: Sebanyak 42 penganjur judi bola sepak atau ‘bookie’ serta pemain termasuk tiga wanita ditahan di negeri ini kerana disyaki terbabit dalam judi pertaruhan keputusan Piala Dunia 2018 sepanjang kejohanan itu berlangsung.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata mereka ditahan dalam 31 serbuan yang dijalankan di seluruh negeri sepanjang kejohanan berkenaan.

“Kita menahan 42 bookie dan pemain, termasuk tiga wanita dengan kebanyakannya adalah warga tempatan. Ada juga sebahagian kecil warga asing iaitu Filipina dan Indonesia.

“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM210,920 yang mana serbuan membabitkan beberapa daerah iaitu Kota Kinabalu, Sandakan, Penampang dan Tawau,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner Jauteh Dikun dan Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Douglas Nyeging Taong.

Ramli berkata, mereka yang berusia antara 20 hingga 60 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 6 (1) dan Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953.

Katanya, siasatan mendapati judi pertaruhan sepanjang Piala Dunia 2018 boleh mencecah sehingga RM30,000 bagi setiap pertaruhan.

“Kini polis masih menjalankan siasatan bagi mengesan saki baki bookie yang masih bebas,” katanya.

Sementara itu, Ramli berkata, kadar jenayah indeks Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bagi Januari hingga akhir Jun 2018 ialah 2,751 kes, iaitu penurunan 186 kes atau 6.3 peratus bagi tempoh sama, tahun lalu.

“Bagi sudut penyelesaian kes, Polis Sabah menyelesaikan 1,751 kes atau 63.6 peratus penyelesaian kes yang meletakkan negeri ini di tangga keempat dalam negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ramli berkata, pihaknya terus berusaha mengesan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang kini berada di London dan dikehendaki berhubung kes ugutan jenayah dilaporkan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

“Pelbagai usaha kini dilakukan dan tidak perlu saya memberi komen lebih lanjut kerana Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sudah memberi kenyataan sebelum ini,” katanya sambil tidak menolak kemungkinan anak Musa yang juga Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa turut berada di London.

Yamani Hafez yang juga Ketua Pemuda UMNO Sabah tidak hadir upacara angkat sumpah Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, Isnin lalu, hingga menimbulkan pelbagai spekulasi berikutan beliau juga dikatakan tidak berhubung dengan pemimpin Pemuda UMNO di Sabah. –¬†Junaidi Ladjana/BH Online

Komen


Berita Berkaitan