Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,647

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Persiapan Kenduri Arwah Terbantut Rumah Musnah Dalam Kebakaran

5:32pm 13/10/2016 Pak Roshan 78 views Mutakhir,Tawau,Tempatan
Rumah Mangsa

KEADAAN rumah mangsa selepas kejadian kebakaran tengah hari tadi.

TAWAU : Hasrat seorang penghuni di Lorong Haji Sundu di Km 3.2, Jalan Apas di sini untuk mengadakan kenduri arwah tergendala apabila rumahnya adalah antara lima buah rumah yang terbakar pagi tadi.

Rahmad Shah Ahmad, 30, berkata segala persiapan untuk mengadakan kenduri arwah bagi bapanya pada 26 Okt ini musnah.

“Wang yang saya kumpul untuk belanja kenduri turut musnah,” katanya yang bagaimanapun masih bersyukur kerana lima anggota keluarganya selamat.

Kebakaran itu menyebabkan 21 orang penghuni tinggal sehelai sepinggang.

Seorang lagi mangsa Syeh Mustafah Syeh Agil, 50, berkata beliau ketika kejadian keluar bekerja sementara isterinya pergi ke gerainya di pusat bandar.

“Sebaik menerima maklumat mengenai kebakaran ini, saya terus bergegas balik ke rumah, namun tiada apa yang boleh saya lakukan kerana rumah saya sudah hampir musnah,” katanya.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Tawau, Faisal Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 10.02 pagi dan mengejarkan 24 anggota bersama empat jentera ke lokasi kejadian.

Beliau berkata punca kebakaran sedang disiasat.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Apas melawat dan menghulurkan bantuan kepada para mangsa.

Sementara itu dalam satu lagi kejadian di Teluk Intan, Perak, tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan nyawa seorang lelaki yang melecur 40 peratus selepas dia terperangkap di dalam rumahnya di Jalan Woo Saik Hong tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Zulkafle Abdullah berkata mangsa yang berusia 40-an dan tinggal seorang diri ditemukan pasukan bomba dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri.

“Kita menerima panggilan kebakaran daripada orang awam yang memaklumkan bahawa terdapat seorang mangsa terperangkap di dalam rumah, pada 12.14 tengah hari.

“Sebaik bergegas tiba, anggota kita terus masuk ke dalam rumah dan menemui mangsa sedang terbaring serta tidak sedarkan diri dengan badan, kaki serta mukanya melecur, sebelum dia dikejarkan oleh pasukan bomba ke Hospital Teluk Intan,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, kebakaran turut melibatkan dua buah rumah papan berkembar.

Punca kebakaran turut sedang disiasat, katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan