Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,680

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Persiapan Hari Pelancaran Bulan Kebangsaan Di Tawau Berjalan Lancar

2:45pm 03/08/2016 Pak Roshan 528 views Berita Pilihan,Mutakhir,Tawau,Tempatan

tawau

TAWAU : Persiapan menjelang Hari Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat kebangsaan 2016 yang dijadual berlangsung Sabtu ini, di sini, berjalan lancar.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Alijus Sipil berkata hampir 90 peratus persiapan dijalankan termasuk dari aspek keceriaan, penyediaan pentas, khemah pameran dan pemasangan bendera di sekitar bandar.

“Kami ada masa dua hari lagi untuk persiapan sepenuhnya sebelum hari pelancaran,” katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya di sini hari ini.

Alijus berkata raptai awal hari pelancaran itu akan diadakan esok manakala raptai penuh pada Jumaat.

Beliau juga berharap keadaan cuaca baik memandangkan terdapat banyak aktiviti menarik akan diadakan seperti pameran, larian merdeka, kembara merdeka dan kayuhan merdeka mulai Jumaat hingga Ahad ini.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah sudah banyak dipasang dan berkibar menghiasi landskap sekitar bandar ini.

Bagaimanapun, Alijus meminta kerjasama daripada penduduk setempat termasuk pemilik premis perniagaan untuk memasang Jalur Gemilang dan bendera Sabah di kediaman dan premis masing-masing bagi memeriahkan lagi sambutan kemerdekaan.

“Pihak kami mengeluarkan pekeliling kepada semua pemilik premis perniagaan, bangunan kerajaan dan swasta untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah. Saya berharap mereka memberikan kerjasama dan berbuat demikian,” katanya.

Buat julung kalinya, Sabah dipilih menjadi tuan rumah hari pelancaran itu dan Tawau yang terletak kira-kira 555 kilometer dari ibu negeri terpilih sebagai lokasi pelancaran.

Tema Hari Kebangsaan pada tahun ini masih mengekalkan tema yang digunakan seperti tahun sebelum ini iaitu #sehatisejiwa memandangkan tema tersebut mencerminkan kesepaduan, kesefahaman dan semangat kekitaan seluruh rakyat Malaysia.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan