Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Persefahaman Malaysia, Australia Dan China Sangat Baik Dalam Pencarian MH370 – Jailani

mh3701

 

HULU TERENGGANU:  Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari menafikan dakwaan dalam laman sosial kononnya tidak wujud persefahaman antara tiga negara – Malaysia, China dan Australia – dalam misi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.

Beliau berkata spekulasi negatif yang tersebar dalam media sosial itu adalah sangat tidak tepat kerana kerjasama yang terjalin antara ketiga-tiga negara ketika ini berjalan dengan lancar dan saling memahami.

“Malah empat jawatankuasa kecil yang tubuhkan kerajaan iaitu Jawatankuasa Penugasan Aset, Jawatankuasa Teknikal dan Logistik, Jawatankuasa Waris dan Jawatankuasa Perhubungan, Komunikasi dan Media itu sendiri bertujuan untuk menyalurkan semua maklumat berkaitan dengan tersusun dan tepat.

“Saya baru sahaja mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawat dari China di Beijing, minggu lalu dan pada asasnya mereka menerima bahawa Malaysia sangat komited dengan usaha pencarian ini tanpa menyembunyikan sebarang maklumat dan fakta,” katanya.

Jailani yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Perhubungan, Komunikasi dan Media berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan khas kejatuhan harga getah RM500 seorang kepada 300 pekebun kecil di sini Isnin.

Berhubung dakwaan terbaru kononnya pesawat itu masih selamat di sebuah lokasi rahsia, Jailani berkata ia dilakukan oleh pihak tertentu yang mahu menjadi popular dengan berita sensasi seumpama itu.

“Bagaimana Malaysia mahu menyembunyikan fakta seperti itu sedangkan sebanyak 26 buah negara terlibat dalam operasi dan menyelamat MH370 selama ini, malah dalam setiap perbincangan sama ada di Canberra atau Beijing, kerajaan Australia dan kerajaan China turut hadir untuk mengetahui perkembangan terbaharu pesawat itu.

“Saya sekali lagi menegaskan rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan media sosial ini, sebaliknya rujuklah media arus perdana untuk maklumat yang terkini dan tepat,” katanya.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), sebagai media utama kerajaan juga akan terus melaporkan tentang usaha mencari pesawat itu, katanya.

MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing membawa 239 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar semasa berada di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam.

Misi pencarian yang disertai pelbagai negara dikerah, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian diperluaskan ke Selat Melaka dan Laut Andaman sebelum pasukan mencari beralih tumpuan ke kawasan perairan di barat Australia di selatan Lautan Hindi.

Komen


Berita Berkaitan