Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,824

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Persediaan Meninggalkan Ramadhan vs Persediaan Menyambut Syawal

10:05am 21/06/2016 Zakir Sayang Sabah 49 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Meninggalkan Ramadhan. Menyambut Syawal. Bunyi macam sama kan? Tapi malangnya tak.

Kalau bercakap tentang persediaan menyambut Syawal, masyarakat kita begitu meriah dan gah dalam merancang. Seolah-olah mengatur strategi perang yang confirm boleh menang. Punyalah teliti dalam mengatur mahu raya di mana, mahu pakai pakaian yang macam mana, mahu makan lauk apa, dan mahu salam akhawat yang mana. Err…

Tapi berapa banyak sahaja yang kita terfikir untuk berfikir apakah yang harus kita lakukan untuk bersedia meninggalkan Ramadhan? Jadi, apa yang saya ingin sebutkan dengan ‘bersedia meninggalkan Ramadhan’? Kita sudah sedia maklum bahawa Ramadhan adalah bulan yang sangat diberkati, rahmat mencurah-curah dari pintu syurga yang terbuka luas, syaitan-syaitan diikat dan dibelenggu daripada mengganggu gugat ketenteraman manusia untuk beribadah tanpa rasa payah.

Namun, sejurus selepas habis Ramadhan, pasti askar-askar Iblis ini akan bertebaran di seluruh muka bumi untuk melaksanakan semula tugas Syahadatul Bathil (penyaksian atas kebathilan) mereka. Mungkin sahaja perisai terhadap syaitan dan nafsu yang kita bina sewaktu bulan Ramadhan ini sudah agak kukuh dan kuat. Namun, tanpa persediaan yang rapi dan kemas adakah kita mampu menghadapi angkatan tentera taghut yang kita tak nampak itu? Dalam Perang Uhud, bukankah umat Islam hampir menang? Namun, beberapa sahabat lalai terhadap musuh mereka di dalam perang itu seterusnya mengakibatkan kekalahan umat Islam ketika itu.

Ambillah pengajaran.

Dalam memerangi nafsu dan syaitan ini, kita tak boleh lalai. Kita mesti sentiasa bersedia, dan membuat persediaan. Mungkin adakalanya kita kalah. Adakalanya kita menang. Namun, apakah yang kita sudah persiapkan dalam menghadapi pertarungan ini?

Hai orang-orang yg beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yg telah diperbuatnya untuk hari esok; dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yg kamu kerjakan.

Al-Hasyr: 18

Jadi, marilah kita cuba melihat pada amal kita, bagaimana strategi kita untuk mengekalkannya? Bacaan Al-Quran berapa bagaimana, zikir harian bagaimana, penghayatan dalam ibadah itu bagaimana, pencarian ilmu itu bagaimana, dan tulislah lagi apa yang kita nak dengan panjang berjela. Dan salah satu solusi yang ingin saya kemukan kali ini ialah membuat mutabaah amal untuk 11 bulan yang akan datang. Amalan yang mana kita rasa boleh istiqamah dan beramal dengannya dengan penuh penghayatan? Tulislah pada mutabaah itu. Tidak usah banyak-banyak. Biarlah sedikit ikut kemampuan kita. Kerana Allah menyukai amal yang istiqamah walau sedikit. Dan apabila kita lakukan amal secara berterusan, insyaAllah kita akan ada rasa ingin menambah amal kita sedikit demi sedikit.

Akhir kata, jangan malas! Cukuplah sudah kita dengan sifat bermalas-malasan. Bukankah kita mahu masuk syurga? Bukankah kita mahu redhaNya? Cukupkah dengan hanya berangan-angan itu kita akan beroleh kemenangan di sana? Kemalasan itu adalah hasil tarbiyah Syaitan Ar-Rajin atau lebih dikenali sebagai Syaitan Ar-Rajim. Mereka begitu rajin untuk menyesatkan kita, begitu rajin untuk membisikkan kelalaian dalam diri kita. Maka, kita pun haruslah rajin dalam menangkis serangan mereka, haruslah rajin dalam memohon perlindungan dariNya. Kalau kita boleh merancang untuk meraikan 1 bulan Syawal, kenapa tak boleh pula merancang juga untuk bulan-bulan seterusnya? Raikanlah Syawal ini sebaiknya, tetapi nilai-nilai yang kita peroleh di bulan Ramadhan janganlah kita lupa begitu sahaja.

Moga Allah memberi kita kekuatan supaya hasil tarbiyah Ramadhan ini menjadikan kita manusia yang lebih baik pada 11 bulan yang akan datang. Seterusnya lebih baik pada Ramadhan akan datang, dan lebih baik pada 11 bulan seterusnya. Dan seterusnya. Dan seterusnya. Dalam kata lain, tarbiyah itu tiada henti. Tarbiyah itu sampai mati!

(Sumber: QuranicGen.com)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan