Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Persahabatan Semasa Menuntut Beri Peluang Jalin Rangkaian

jainab

KOTA KINABALU– Persahabatan yang terhasil semasa melanjutkan pelajaran boleh menyediakan peluang perangkaian yang tidak ternilai bagi mereka yang berhasrat menjadi usahawan, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Beliau berkata peluang itu juga boleh menangani isu-isu amanah yang berkaitan dengan perniagaan.

“Semasa anda di universiti, anda membina hubungan baik dalam kalangan mereka yang terdiri daripada pelbagai budaya. Inilah masanya anda tahu siapa yang boleh dipercayai apabila anda memasuki bidang keusahawanan,” tambah beliau.

Jainab berkata demikian ketika merasmikan Kursus Keusahawanan Graduan Muda di sini, anjuran bersama Institut Pengupayaan Wanita Bagi Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NIEW) dan Yayasan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF).

Turut hadir ialah Pengerusi Amanah Pendidikan WIEF Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin.

Jainab juga menyatakan bahawa walaupun menguasai 37 peratus daripada penduduk umur bekerja dunia, golongan muda juga menyumbang 60 peratus daripada pengangguran.

Oleh itu, beliau berharap belia hari ini, yang celik teknologi dan lebih berpengetahuan tentang dunia di sekeliling mereka, akan terlibat dalam keusahawanan untuk mewujudkan peluang dan mata pencarian untuk masa hadapan.

“Ini akan mempunyai kesan yang baik pada semua peringkat umur dan di seluruh masyarakat dan negara,” tambah beliau.

Beliau berkata generasi belia dunia hari ini berjumlah 1.8 bilion dengan majoriti di negara-negara membangun.

“Tenaga, semangat dan inovasi, generasi muda yang besar ini boleh membawa faedah demografi yang besar kepada negara dan kepada dunia kita,” kata beliau.

Jainab berkata pembangunan belia akan melibatkan pelaburan dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, latihan kemahiran dan penyediaan kredit dan juga komitmen untuk melibatkan mereka dalam ekonomi, sosial dan politik.

Kira-kira 30 peserta dari kalangan negara-negara anggota NAM seperti Mesir, Timor Leste, Namibia, Iran, Indonesia dan Uzbekistan, selain Malaysia, mengambil bahagian dalam kursus lima hari yang bermula hari ini.

Komen


Berita Berkaitan