Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,815

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Perpaduan harus dipelihara demi kesejahteraan rakyat

8:31pm 29/12/2015 Elezebeth Esther Onjining 65 views Tempatan
Acara pemotongan kek Krismas oleh Radin dan AJK Bahagian PBS Melalap di majlis itu

Acara pemotongan kek Krismas oleh Radin dan AJK Bahagian PBS Melalap di majlis itu

TENOM- Perpaduan dan keharmonian yang sedia wujud di kalangan rakyat berbilang kaum di negeri Sabah harus dipelihara demi kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan hidup rakyat, kata Menteri Pembangunan
Luar Bandar Sabah, Datuk Radin Malleh.

Menurut Radin, persefahaman yang tinggi di kalangan rakyat berbilang kaum itu akan mematahkan usaha golongan pelampau tertentu yang ingin merosakkan perpaduan rakyat yang telah sedia terjalin itu.

“Kerajaan sentiasa menggalakkan penganjuran aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan kebudayaan termasuklah majlis rumah terbuka sempena perayaan Hari Krismas yang boleh menjadi saluran untuk mengeratkan
perpaduan dan hubungan rakyat berbilang kaum di negeri Sabah khususnya di daerah ini”, katanya.

Radin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata demikian di majlis rumah terbuka sempena perayaan Hari Krismas anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Melalap bertempat di kediaman beliau di Kampung Makakumpai, di sini, Isnin lepas.

“Penganjuran majlis rumah terbuka berkenaan membuktikan rakyat berbilang kaum termasuklah masyarakat Kristian di negeri Sabah masih bebas untuk mengamalkan kepercayaan dan menjalankan aktiviti-aktiviti mereka.

“Malah, peruntukan dana tahunan kepada institusi-institusi pendidikan dan kebudayaan masyarakat bukan Islam di Sabah pada setiap tahun juga membuktikan komitmen dan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional
terhadap semua kaum di negeri ini,” katanya.

Tegas beliau, kerajaan akan bertindak tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam di negeri ini.

Majlis itu dimeriahkan lagi dengan persembahan lagu-lagu Krismas oleh beberapa kumpulan koir dari Paroki St. Anthony Tenom, Taman Perumahan Kallang, Skim LIGS Tenom, Makakumpai, Makatabau, Entabuan, Santa Maria
Diangkat Ke Surga Pulong serta Pertandingan Ratu Ibu, Pertandingan Bina Badan Kanak-Kanak serta cabutan bertuah.

Kanak-kanak termasuklah kanak-kanak istimewa dan kurang upaya yang diraikan di majlis itu gembira menerima hadiah masing-masing yang disampaikan oleh ‘Santa Claus’.

Radin yang juga Naib Presiden PBS menambah kestabilan politik dan perpaduan rakyat amat penting demi kejayaan pelaksanaan pelbagai program pembangunan di negeri ini.

Selain itu, katanya, pelbagai program transformasi sosioekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan itu adalah demi kemajuan negara dan kesejahteraan hidup rakyat.

Disamping itu, kerajaan juga mengalu-alukan maklum balas rakyat khususnya masyarakat luar bandar di negeri ini yang boleh menjadi input untuk meningkatkan tahap perkhidmatan kerajaan dan memastikan
program-program transformasi itu mencapai sasarannya.

Menurut Radin, amalan perkongsian kuasa oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah memberi peluang kepada rakyat berbilang kaum termasuklah masyarakat Kristian dan masyarakat bukan Islam yang lain untuk
memainkan peranan dalam pelbagai sektor serta program pembangunan di negeri ini, katanya.

“Perkongsian dan kerjasama rakyat berbilang kaum dalam pelbagai sektor boleh mengukuhkan perpaduan rakyat serta menggalakkan perkembangan ekonomi serta kestabilan negeri Sabah.

“Sehubungan ini, saya berharap rakyat berbilang kaum khususnya masyarakat Kristian akan terus bersama-sama dengan kerajaan untuk menjana kemajuan negeri ini dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Saya, isteri serta keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas 2015 kepada mereka yang merayakannya serta Selamat Tahun Baharu 2016 kepada seluruh rakyat Malaysia di negeri Sabah.

“Semoga kestabilan, keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi pada hari ini akan berterusan demi kesejahteraan kita semua. Marilah kita bersama-sama membangunkan negeri kita yang tercinta ini,” katanya lagi.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Lucas Umbul, Pegawai Daerah Tenom, Madiyem Layapan, Pegawai Daerah Nabawan, Fredian Gan, OCPD Tenom, Firdaus Abdullah, para pemimpin masyarakat, para
penjawat awam, para penduduk serta kanak-kanak istimewa dan kurang upaya, ahli-ahli PBS Tenom serta beberapa AMT PBS.-SayangSabah

kanak-kanak riang menerima hadiah Krismas dari Santa Claus di majlis itu

kanak-kanak riang menerima hadiah Krismas dari Santa Claus di majlis itu

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan