Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Perpaduan diperkasa melalui amalan kunjung mengunjungi

Ewon bergambar bersama rombongan dan penduduk kampung di rumah Maryati, di Kampung Tambulion Laut.

KOTA BELUD: Perpaduan rakyat pelbagai kaum di Sabah boleh terus diperkasakan melalui amalan kunjung-mengunjungi semasa musim perayaan keagamaan dan kebudayaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Ewon Benedick berkata, ini kerana pembangunan dan kemajuan negara banyak bergantung kepada sejauh mana rakyat boleh bersatu padu dan bekerjasama antara satu sama lain.

“Justeru, pembudayaan amalan kunjung-mengunjungi semasa sambutan perayaan keagamaan dan kebudayaan merupakan usaha kecil yang kita boleh buat ke arah memperkasakan perpaduan rakyat, dan seterusnya kerjasama sebagai satu komuniti.

“Amalan ini juga memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk berinteraksi secara positif mengenai kepentingan bersama. Kalau kita boleh kunjung-mengunjungi, tidak ada sebab untuk kita tidak boleh bersatu padu demi kemajuan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kunjungan Rumah ke Rumah sempena sambutan Hari Raya, di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadmaian dan DUN Tampasuk, di sini, kelmarin.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, program itu juga adalah sebahagian daripada aspirasinya selaku Wakil Rakyat di Kadamaian agar dapat menyatu-padukan rakyat Kadamaian.

“Melalui program turun padang dan kunjungan dari rumah ke rumah sempena musim perayaan, kita bukan sahaja dapat memeriahkan majlis itu tetapi memberi peluang kepada masyarakat akar umbi untuk bertemu dan mendengar permasalahan mereka.

“Saya sudah melaksanakan program ini sejak sebelum menjadi Wakil Rakyat dan saya mahu konsisten meneruskan amalan ini kerana ianya juga memberi peluang kepada saya untuk mendengar aduan, permasalahan, aspirasi, cadangan dan permohonan-permohonan secara terus daripada rakyat yang saya wakili sekarang,” katanya.

Semasa kunjungan di Kampung Tambulion Laut, Ewon turut meninjau kawasan pusat rekreasi yang dicadangkan penduduk kampung berkenaan di tepi Sungai Wario.

Pada program itu beliau mengunjungi lima buah rumah dan menyampaikan hamper raya kepada Keluarga Guru Besar SK Podos Siti Munirah @ Sapilih, di Kampung Podos, Maryati Kussein di Kampung Tambulion Laut, rumah Ketua Kampung Kg.Tambulion Laut Budik Masilang, rumah Asmunir OKK Tungging di Kampung Tambulion Ulu dan rumah Ketua Cawangan Upko Mohd Shah Mualah di Kampung Sarang.

Mereka merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon atas kesudian berkunjung ke rumah mereka dan berharap pelbagai masalah yang dihadapi penduduk kampung seperti jalan raya, bekalan air dan kemudahan-kemudahan asas yang lain dapat diberi perhatian.

Turut menyertai rumbongan itu Setiausaha Politik Carlye Lajimin, Setiausaha Perhubungan Charles Dalinsing dan Setiausaha Sulit Arron Guramon./SayangSabah

Ewon menyampaikan hamper kepada Budik.

Komen


Berita Berkaitan