Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,654

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Perokok Lebih Berisiko Terkena Strok Haba

10:22am 23/03/2016 Pak Roshan 352 views Isu Semasa,Mutakhir
merokok

gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perokok merupakan antara golongan yang berisiko tinggi dan paling mudah mengalami strok haba ketika cuaca panas dan kering berbanding individu yang tidak merokok, kata pengamal perubatan swasta.

Dr Khairul Idzham Abdul Khalid berkata nikotin dalam rokok bukan sahaja menyebabkan perokok terdedah kepada jangkitan paru-paru malah menjadikan tubuh mudah ternyahhidrat (dehidrasi) kerana bahan kimia dalam rokok meningkatkan lagi penggunaan air dalam tubuh.

“Antara tanda-tanda strok haba adalah denyut nadi menjadi pantas. Perlu diingat, nikotin juga menyebabkan jantung seseorang itu berdegup dengan cepat justeru meningkatkan risiko terkena strok haba ketika cuaca panas dan kering,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, tambah beliau, perokok hendaklah meminum air dengan banyak, dengan jumlah air hendaklah berdasarkan berat badan masing-masing.

“Contohnya, jika berat badan seseorang itu adalah 70 hingga 75 kg, maka dia harus minum kira-kira 3.5 liter air,” katanya.

Dalam keadaan biasa, seorang dewasa perlu minum purata lapan gelas (dua liter) air setiap hari manakala kanak-kanak pula kira-kira empat gelas air. Bagaimanapun, jumlah keperluan air adalah bergantung kepada jantina, faktor cuaca dan usia (bagi kanak-kanak) seseorang itu.

Malaysia kini mengalami cuaca panas dan kering yang disebabkan oleh fenomena El Nino dan Jabatan Meteorologi meramalkan keadaan itu hanya akan berakhir pada Mei atau Jun.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan sebagai berkata bahawa strok haba berlaku apabila paras suhu badan seseorang itu meningkat melebihi 40.5 darjah celcius. Suhu normal badan manusia adalah 37 darjah celcius.

Katanya suhu tinggi juga mengundang komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu koma dan boleh membawa kematian.

Dr Khairul Idzham berkata golongan yang berumur 40 tahun ke atas dan lima tahun ke bawah juga lebih berisiko terkena strok haba ketika cuaca panas dan kering.

Tegas beliau, ibu bapa perlu memastikan anak-anak meminum air putih secukupnya, sentiasa berwaspada serta memantau aktiviti dan kesihatan anak-anak.

Bagi mengelakkan terkena strok haba, Dr Khairul Idzham menasihati orang ramai agar mengehadkan aktiviti di luar rumah, memakai pakaian yang longgar dan berwarna cerah ketika di luar rumah, mandi lebih kerap, selain mengelakkan makanan dan minuman berkafein, beralkohol dan yang mengandungi kadar gula tinggi.

Beliau menjelaskan antara tanda strok haba adalah sakit kepala berdenyut, mual, kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas, denyutan nadi yang pantas, otot lemah dan kejang, muntah, kulit kering dan kemerahan, sawan serta pitam.

“Orang ramai hendaklah berhati-hati dan peka terhadap kesihatan diri, terutamanya jika ada tanda-tanda tersebut, harus segera ke hospital atau klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut,” tambah beliau.

Beliau juga mengingatkan pesakit kencing manis, darah tinggi dan pesakit jantung agar memberi lebih perhatian kepada kesihatan masing-masing.

Dr Khairul Idzham turut menasihatkan golongan yang bekerja di luar rumah serta sering terdedah kepada cuaca panas seperti atlet, polis, tentera dan peladang supaya mengambil langkah-langkah perlu bagi mengelakkan terkena strok haba.

Beliau berkata selain strok haba, penyakit-penyakit seperti jangkitan paru-paru dan demam denggi turut berlaku semasa cuaca panas dan kering. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan