Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Perniagaan e-dagang jana keuntungan buat peniaga PKS

Datuk Seri Musa Aman
Datuk Seri Musa Aman

KOTA KINABALU – Usahawan di Sabah disaran berkecimpung secara aktif dalam perniagaan e-dagang bagi memperluaskan pasaran mereka termasuk memohon insentif di bawah program eTRADE yang diperkenalkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Saranan itu disuarakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, agar usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini menggunakan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam memasarkan produk dan perkhidmatan ke pasaran global.

“Matrade telah memperkenalkan eTRADE pada Oktober tahun lalu dengan menawarkan insentif kewangan bagi penyenaraian syarikat PKS dalam talian antarabangsa yang telah dikenalpasti seperti Alibaba.com dan eBay,” katanya dalam ucapan perasmian sempena Program Forum Pengeksport 2015 di sini hari ini.

Musa diwakili oleh Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, Datuk Bolkiah Ismail. Hadir sama Pengerusi Matrade, Datuk Noraini Ahmad.

Musa berkata, Matrade mempunyai beberapa program dalam membangunkan usahawan dan pengeksport untuk bersaing dengan syarikat di peringkat antarabangsa seperti Going Export (Go-Ex) yang dilancarkan pada 2014.

Antara sektor berpotensi yang dikenalpasti di dalam program Go-Ex adalah minyak dan gas, makanan, minuman, gaya hidup, elektrik, elektronik, ICT, penjagaan kesihatan, automotif dan bangunan.

Selain Go-Ex, Matrade turut memperkenalkan program Mid-Tier yang memberi fokus kepada syarikat pertengahan yang mempunyai jualan tahunan antara RM50 hingga RM500 juta dari sektor perkilangan manakala RM20 hingga RM500 juta bagi sektor lain.

Syarikat tersebut akan dibantu untuk menembusi pasaran baharu, mengakses kepada pembiayaan dan teknologi baharu dan mendapat khidmat nasihat daripada perunding pengurusan antarabangsa yang berpengalaman.

Sebanyak 44 buah syarikat telah dipilih pada pengambilan pertama pada tahun lalu manakala pengambilan kedua tahun ini melibatkan 57 buah syarikat menyertai program tersebut. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

 

Komen


Berita Berkaitan