Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,694

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Permit Hanya Kepada Pengusaha Bot Dilengkapi Sistem ‘Ais’ Dipertimbang

5:38pm 29/07/2016 Pak Roshan 14 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
gambar hiasan

gambar hiasan

PAPAR : Pemberian permit pengecualian Perintah Berkurung hanya kepada pengusaha bot tunda dan nelayan dalam kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang memasang Sistem Pengenalan Automatik (AIS) seperti disarankan polis akan dipertimbangkan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata ini bagi memastikan kesemua pengusaha bot tunda dan nelayan laut dalam memberi kerjasama memasang AIS sebelum tamat tempoh yang diberi iaitu pada 8 Ogos depan.

“Permit pengecualian Perintah Berkurung dikeluarkan oleh pesuruhjaya polis Sabah melalui ketua polis daerah. Saya akan mempertimbangkan untuk mengeluarkan permit itu kepada mereka yang memberi kerjasama memasang AIS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Summer Camp Siri 6/2016 – Program Remaja Berwawasan di Pusat Latihan Khidmat Negara Wawasan Papar di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata langkah mewajibkan pemasangan AIS bagi bot tunda dan bot nelayan laut dalam itu bertujuan untuk membantu memastikan keselamatan sentiasa terjamin ketika berada di perairan Esszone dan bukan untuk menyusahkan mereka.

Sehubungan itu, beliau menggesa mana-mana pihak yang berkenaan supaya mengetepikan kepentingan diri, dan memberi kerjasama memasang AIS.

“Banyak alasan tidak mematuhi (arahan memasang AIS). Ada sesetengahnya disebabkan oleh kepentingan diri, ada aktiviti tidak sihat dan tidak mahu polis mengesan kedudukan mereka.

“Saya berharap ketepikan kepentingan diri dan pasanglah AIS. Jika tiada pengesan, bagaimana kita dapat membantu dengan cepat sekiranya mereka hilang di laut atau ada sebarang kecelakan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rashid juga mahu pengusaha bot dan nelayan melaporkan perancangan mereka ke laut kepada pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sehari sebelum bergerak selain melaporkan setiap satu jam ketika berada di laut.

Jika melihat pergerakan mencurigakan berlaku di perairan, segera melaporkan perkara itu kepada pasukan keselamatan, katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan