Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,681

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Perlu Sistem Komunikasi Berkesan Untuk Tembusi Luar Bandar

9:18pm 30/04/2016 Pak Roshan 6 views Mutakhir,Nasional
Datuk Sri Dr Salleh Said Keruak

Datuk Sri Dr Salleh Said Keruak

BELAGA – Kerajaan akan terus berusaha untuk mendapatkan sistem yang berkesan tetapi murah dalam menyediakan perkhidmatan selular dan internet lebih luas di kawasan luar bandar di seluruh negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata ini adalah sebahagian daripada usaha untuk merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Sesungguhnya, sasaran kerajaan bahawa menjelang 2020, kadar penembusan internet adalah sekitar 95 peratus. Bagi mencapai matlamat ini, kita perlu mengenal pasti atau membangunkan sistem baharu yang sangat bersesuaian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan sebuah menara pemancar komunikasi milik Digi Telecommunication Sdn Bhd., yang membolehkan penyediaan perkhidmatan selular 4G LTE serta pekhidmatan internet dan sistem komunikasi, dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Long Urun.

Dengan penduduk kira-kira 1,200 orang, Long Urun, kira-kira enam jam pemanduan dari bandar Bintulu, adalah sebuah penempatan Penan dengan mempunyai 14 rumah panjang termasuk empat rumah panjang Kenyah serta Sekolah Kebangsaan Long Urun.

Menara komunikasi itu menggunakan teknologi SmallCell (Doppler 5000) dan VSAT terkini bagi perkhidmatan selular dan internet. Ia dikatakan sebagai yang pertama seumpamanya di negara ini.

Salleh berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga mahu jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar dapat dikurangkan.

“Beliau dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, kedua-dua mereka mahu isu ini ditangani dalam usaha membawa pembangunan lebih besar di luar bandar,” katanya.

Kerajaan, katanya, akan terus bekerjsama dengan pembekal perkhidmatan telekomunikasi untuk membangunkan sistem terbaik yang boleh menembusi dan menyediakan perkhidmatan di sebahagian besar kawasan terpencil di luar bandar.

“Kita juga meminta SKMM untuk mengenal pasti kawasan pedalaman yang masih tanpa perkhidmatan ini untuk kita memperbaiki situasi itu secara berperingkat,” katanya.

Salleh berharap rakyat Long Urun akan menggunakan perkhidmatan sedia ada untuk berkomunkasi antara satu sama lain serta sebagainya.

Beliau berkata mereka juga boleh melayari secara dalam talian untuk mendapatkan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan agar mereka dapat membezakan antara kebenaran dengan fitnah yang disebarkan. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan