Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Perlu Ada Kumpulan Sokongan Untuk Pulihkan Emosi Kakitangan MAS – Dr Fadzilah Kamsah

fadilah

KUALA LUMPUR– Kakitangan Malaysia Airlines (MAS) perlu mempunyai sebuah kumpulan sokongan bagi memberi semangat dan memulihkan emosi mereka yang kehilangan 27 rakan sekerja ekoran insiden MH370 dan MH17.

Pakar motivasi dan penceramah bebas Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah berkata, kakitangan MAS sememangnya sedang menghadapi tekanan emosi yang serius kerana mereka kehilangan ramai rakan sekerja dalam tempoh yang singkat iaitu hanya empat bulan selepas insiden pertama.

“Di kalangan mereka sendiri perlu wujudnya seseorang atau satu kumpulan yang lebih kuat, tegas dan positif untuk membantu rakan-rakan yang lain meneruskan kehidupan selepas berlakunya peristiwa tragik ini.

“Kalau mereka bergaul dengan orang-orang yang memiliki emosi yang sama pastinya perasaan sedih dan trauma yang dirasai akan menjadi lebih parah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

MAS kehilangan 12 kakitangan dalam penerbangan MH370 pada 8 Mac lepas ekoran pesawat yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu hilang dari imbasan radar, sementara 15 lagi kakitangan MAS dalam penerbangan MH17 terkorban selepas pesawat itu terhempas di Ukraine semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, Khamis lepas.

Fadzilah berkata, sekiranya perasaan sedih dan trauma yang dihadapi kakitangan MAS ini berpanjangan, ia sudah pasti akan menjejaskan prestasi pekerjaan mereka dan MAS.

Selain perlu menerima hakikat bahawa kejadian ini adalah suatu suratan yang sudah ditentukan, kakitangan MAS juga perlu mengetahui bahawa perasaan sedih dan trauma yang dihadapi adalah satu perkara yang normal dan ia akan pulih dari masa ke semasa.

Beliau juga menasihati kakitangan MAS dan semua anggota keluarga yang terlibat dalam kedua-dua nahas pesawat ini supaya tidak terlalu mengikuti perkembangan semasa mengenai kejadian ini.

Katanya, jika mereka terlalu taksub atau terlalu mengikuti setiap perkembangan kejadian melalui media massa dan laman sosial, tekanan emosi yang dihadapi akan lebih parah.

“Dengan mengikuti perkembangan dari masa ke semasa, ia akan memberi tekanan yang lebih teruk kepada emosi mereka… menurut kajian kalau kita terlibat dengan sesuatu peristiwa yang tragik, memadailah jika kita tahu perkara sebenar, dan jangan terlampau ‘follow up’,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan