Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Perkongsian kuasa melalui persempadanan semula kawasan pilihanraya

KOTA BELUD: Isu perkongsian kuasa yang dibangkitkan di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah boleh diperkasakan melalui persempadanan semula kawasan pilihanraya.
Ketua Bahagian Upko Kota Belud, Ewon Benedick berkata, kewujudan rasa tidak puashati segelintir penduduk negeri ini dalam beberapa perkara termasuk perkongsian kuasa, disebabkan kurangnya peranan kaum-kaum yang diwakili setiap parti dalam membuat keputusan dan perlaksanaan jentera kerajaan.
“Kita memang sedia maklum bahawa persempadanan semula kawasan pilihanraya bukan sahaja perlu mengambil kira populasi di negeri-negeri terlibat, tetapi potensi dan keadaan geografi.
“Dalam konteks Sabah, kita telah melihat persempadanan semula yang dibuat pada tahun 1993 kurang adil dan lebih bersifat politik, akhirnya mengubah keseluruhan landskap politik dan perjalanan pemerintahan Kerajaan.
“Oleh itu, usaha untuk memperbaiki isu perkongsian kuasa boleh dilakukan dalam persempadanan semula yang sedang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihanraya. Peranan ini terletak di tangan para pemimpin negeri yang duduk dalam Jawatankuasa Perhubungan BN Sabah untuk mengemukakan cadangan terbaik yang dipersetujui oleh semua ketua parti komponen dari negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Zon Selatan Kota Belud di Kompleks Sukan Kota Belud, kelmarin.
Menurut Ewon, daerah Kota Belud merupakan satu contoh kajian kes di mana masyarakat daripada kaum Dusun merupakan etnik terbesar, diikuti oleh Bajau, Iranun dan Tionghua, tetapi hanya mempunyai seorang daripada empat Wakil Rakyat yang ada sekarang dan akhirnya mencetuskan sentimen rasa kurang puashati mengenai peranan masyarakat tersebut dalam kepimpinan, pentadbiran dan pembangunan daerah Kota Belud.
“Saya berpendapat persempadanan semula ini adalah peluang terbaik untuk memulihkan semula landskap politik dalam BN di mana semua parti komponen berasa menjadi rakan kongsi sebenar dan memainkan peranan bersama dalam Kerajaan berdasarkan pembahagian kawasan ditandingi dalam pilihanraya umum yang lebih adil,” katanya.
Oleh itu, Ewon yang juga Ketua Komulakan Upko berharap agar persempadanan baru di daerah itu dibuat secara adil.  – oleh Monica Gidung / Sayangsabah

Ewon menyampaikan cenderahati kepada wakil pasukan SK Kiau yang menyertai sukan itu. - foto Monica Gidung / Sayangsabah
Ewon menyampaikan cenderahati kepada wakil pasukan SK Kiau yang menyertai sukan itu. – foto Monica Gidung / Sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan