Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Perkhidmatan pengangkutan udara di Sabah dan Sarawak dikecualikan SST

KOTA KINABALU, 2 Sept (Bernama) — Perkhidmatan pengangkutan udara di Sabah dan Sarawak dikecualikan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerana ia merupakan mod pengangkutan yang kritikal dan penting bagi penduduk di kedua-dua negeri tersebut.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata pengecualian tersebut merupakan keistimewaan yang diberikan kepada kedua-dua negeri di pulau Borneo itu kerana mengambil kira faktor struktur muka bumi Sabah dan Sarawak yang begitu luas.

Katanya, pengecualian cukai perkhidmatan udara di wilayah Sabah dan Sarawak berkenaan mungkin mengejutkan kerana pengangkutan udara dikenakan cukai di bawah pelaksanan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan terdahulu.

KoLim berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri taklimat dan forum pelaksanaan Cukai Perkhidmatan dan Jualan (SST) anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis, yang dihadiri 1,000 pihak berkepentingan itu, ialah Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T. Subromaniam.

Mengenai sesi taklimat itu, Lim berkata ia adalah ruang bagi kerajaan, khususnya kementerian beliau, untuk mendengar pandangan rakyat berhubung sistem percukaian yang baru dikuatkuasakan semalam.

Katanya, berdasarkan maklum balas berkenaan,, kerajaan sedia meminda mana-mana perkara yang mungkin tidak sesuai dengan penerimaan rakyat dan pindaan itu akan dilakukan pada akhir tahun ini.

“Kebajikan rakyat lebih penting daripada hanya membicarakan soal menaikkan cukai. Saya tidak mengatakan cukai itu tidak penting. Ia penting. Tetapi dalam konteks yang lebih luas, anda akan saksikan bahawa memperkasakan ekonomi rakyat adalah lebih penting,” katanya.

“Apa gunanya memperolehi kutipan cukai yang banyak jika rakyat menderita. Dan kita tahu bahawa inilah (raktyat menderita) yang dilakukan GST kepada rakyat,” katanya.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan