Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Perkeso Siap Serah Faedah Kepada 43 Waris Mangsa MH17

perkeso mh17

KUALA LUMPUR– Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah membuat persiapan untuk menyerahkan faedah skim Perkeso di bawah Skim Bencana Pekerjaan kepada 43 waris warga Malaysia yang terkorban dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.

Menterinya Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata pihaknya hanya menunggu masa yang bersesuaian untuk mengadakan majlis penyerahan faedah tersebut.

“Terima kasih kepada semua pegawai Perkeso yang telah bekerja keras mengenal pasti dan menghubungi waris mangsa sejurus sahaja mendapat maklumat daripada pihak MAS tempoh hari,” katanya pada Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang dan Khidmat Setia Perkeso 2013 di sini, malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Saripuddin Kasim.

Riot berkata kementeriannya melalui Perkeso turut bersedia menyampaikan faedah skim Perkeso kepada waris mangsa pesawat MAS MH370.

“Kita tidak lupa tentang perkara ini, hanya kita tidak dapat berbuat apa-apa setakat ini kerana misteri kehilangan MH370 masih lagi berterusan,” kata Riot.

Kumpulan pertama 20 jenazah yang melibatkan 11 penumpang dan sembilan anak kapal MH17 dibawa pulang ke tanah air dari Amsterdam dengan sebuah pesawat khas pada Jumaat lepas disusuli kumpulan kedua dengan tiga jenazah semalam.

Satu lagi jenazah dibawa pulang pada Sabtu lepas.

Penerbangan MH17, yang membawa 289 penumpang termasuk 15 anak kapal, ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai lepas.

Penerbangan MH370 pula membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan skrin radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac lalu setelah berlepas kira-kira sejam dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL menuju Beijing pada 12.41 tengah malam.

Misi pencarian MH370 masih diteruskan tetapi setakat ini tiada petunjuk ditemui berhubung pesawat itu.

Pada majlis itu, seramai 152 warga Perkeso menerima anugerah khidmat cemerlang, manakala 126 orang yang berkhidmat selama 20 tahun dan 127 yang berkhidmat selama 25 tahun masing-masing menerima anugerah khidmat setia.

Komen


Berita Berkaitan