Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Perjuangan Iman Berterusan

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Ramadhan telah tamat, namun amal dan iman tidak pernah tamat. Kita berpisah dari Ramadhan, namun tak sekali-kali berpisah dengan Tuhan.

Perjuangan iman berterusan, sampai ke akhir hayat.

Kita telah memenuhi Ramadhan dengan amal ketaatan, janganlah kita mensia-siakannya dengan keluar daripadanya kembali kepada dosa dan maksiat. Jangan kita membatalkan kesan dan kebaikan amal di dalam Ramadhan dengan keburukan akhlak dan peribadi di luarnya.

“Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat menjadi cerai berai kembali.” [An-Nahl : 92]

Ibn Kathir menyebut dari As-Suddi : Ia adalah kisah seorang perempuan yang cemerkap di Makkah, apabila dia memintal benang, dia mengurainya semula selepas siap.[1]

Ia adalah ibarat melakukan pekerjaan yang sia-sia. Setelah bersusah payah untuk sekian lamanya, tetapi akhirnya merosakkannya begitu sahaja. Akhirnya Ramadhan tidak memberi kesan apa setelah kita keluar daripadanya.

 

Meneliti Beberapa Peristiwa Besar Dalam Sejarah Islam Di Syawal

Syawal menjadi saksi berlakunya beberapa peristiwa besar Islam. Barangkali peristiwa besar ini menjadi simbolik bahawa perjuangan iman tidak pernah berhenti, walau selepas Ramadhan.

Iman bukanlah pakaian di dalam Ramadhan sahaja. Taqwa bukan pakaian di dalam Ramadhan sahaja. Tetapi ia adalah pakaian di dalam dan luar Ramadhan.

Beberapa peristiwa besar dalam sejarah lampau Islam yang berlaku di dalam Syawal antaranya :

 

1) Perang Uhud

Pasca menerima kekalahan di dalam Perang Badar, musyrikin Makkah tidak berpuas hati lalu merangka untuk membalas dendam semula kepada muslimin, lalu tercetusnya Perang Uhud pada Syawal tahun ke-3 Hijrah.

Perang Uhud walaupun mengumpulkan sekaligus antara kemenangan dan kekalahan di pihak muslimin, namun ia memberikan signifikan mendalam terhadap perjuangan iman yang tidak pernah berhenti.

 

2) Perang Khandak

Dengan kesepakatan yang lebih besar, perang Khandak yang berlaku pada Syawal tahun ke-5 Hijrah ini menyaksikan gabungan musyrikin Makkah, Yahudi Madinah dan beberapa kabilah Arab lain datang menyerang muslimin di Madinah.

Dengan cadangan strategi dan kebijakan Salman Al-Farisi, khandak (parit) yang digali berjaya mematahkan serangan pakatan musyrikin itu. Bahkan, dengan peranan seorang sahabat bernama Nuaim bin Mas’ud, beliau telah berjaya melaga-lagakan antara Yahudi Quraizah dan Musyrikin sebelum berlakunya peperangan yang akhirnya melemahkan lagi kekuatan di pihak musuh.

 

3) Perang Hunain

Perang Hunain berlaku pada Syawal tahun ke-8 Hijrah. Termaktub dalam Al-Quran akan kisah peperangan ini sebagai teguran ke atas mukmin ketika mereka merasa kuat kerana bilangan mereka yang ramai sedangkan hakikatnya yang ramai belumlah tentu memenangkan mereka sebagaimana mereka telah menang dengan jumlah yang sedikit ketika di Badar dahulu.

Yang memenangkan mereka hanyalah Allah, dan pembersihan iman berlaku terus-menerus kepada para sahabat meski telah beberapa kali Ramadhan dan peperangan ditempuhi.

 

4) Perang Thaif

Perang ini adalah lanjutan dari perang Hunain. Berlaku pada Syawal tahun yang sama kerana sebahagian besar saki baki tentera Huwazin dan Thaqif telah lari bersama ketua mereka Malik bin Auf An-Nasri berkubu di Thaif, lalu Rasul s.a.w. bersama para sahabat pergi menyerang mereka.[2]

 

5) Pernikahan Rasul s.a.w. dengan Aisyah

Imam Qurtubi menyatakan dalam Al-Mufhim Lima Asyakala Min Talkhis Kitab Muslim bahawa antara kepercayaan orang terdahulu adalah menganggap bahawa sesiapa yang berkahwin di dalam Syawal, maka akan terjadi perkara malang di antara suami isteri itu dalam kehidupan mereka.

Imam Muslim membawakan hadith daripada Aisyah dengan meletakkan hadith itu di bawah bab ‘Sunat Bernikah Di Bulan Syawal …’ yang menyebutkan kata-kata Aisyah : “Rasulullah s.a.w. menikahiku dalam Syawal dan membangun rumah tangga denganku di Syawal. Adakah isteri-isteri Rasul s.a.w. yang lebih tuahnya daripada diriku?.”[3]

Hadith ini sebagai menyangkal kepercayaan orang terdahulu bahawa sesiapa yang berkahwin pada bulan itu bakal mendapat kesialan dalam rumah tangganya. Kepercayaan ini bertentangan dengan iman kita kepada Allah yang meyakini bahawa untung rugi nasib bukanlah pada bulan, tetapi pada ketentuan Allah s.w.t. dan usaha diri kita.

Ia adalah juga satu proses pembersihan iman dan keyakinan sebagai bekal berjuang terus atas jalan keimanan.

 

Membangun Iman Berterusan Sebagai Jalan Membangun Ketamadunan

Di dalam surah Al-Imran ketika menceritakan berkaitan peperangan Uhud ini, Allah s.w.t. telah mengaitkan peristiwa ini sebagai teguran kepada orang beriman dengan peristiwa yang pernah menimpa ummat terdahulu dari kalangan para pengikut Nabi. Ia adalah agar mukmin membersihkan iman dalam jiwa mereka dari sebarang keinginan dunia, barulah dengan itu Allah membantu kemenangan mereka.

“Sesungguhnya telah berlalu sebelum kamu sunnah-sunnah Allah. Kerana itu berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul).” [Al-Imran : 137]

“Dan agar Allah membersihkan orang-orang yang beriman dan membinasakan orang-orang kafir.” [Al-Imran : 141]

“Di antaramu ada orang yang menghendaki dunia dan di antara kamu ada orang yang menghendaki akhirat.” [Al-Imran : 152]

Di dalam surah Al-Ahzab ketika menceritakan berkaitan peperangan Ahzab atau Khandak ini juga, Allah s.w.t. tidak pernah lepas dari mengingatkan tentang jalan iman dan kekuatan sumber hubungan antara mukmin dengan-Nya.

“Dan tatkala orang mukmin melihat golongan yang bersekutu itu, mereka berkata : Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita. Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan penyerahan diri.” [Al-Ahzab : 22]

Di dalam perang Hunain yang diceritakan dalam surah At-Taubah, lebih lagilah Allah mendatangkan teguran buat orang beriman kerana merasa yakin dengan kemenangan atas jumlah mereka yang banyak, yakni pada aspek materialisme semata-mata.

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para mukmin) di medan peperangan yang banyak dan (ingatlah) perang Hunain iaitu di waktu kamu menjadi besar diri kerana banyaknya jumlahmu, maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai. Kemudian Allah menurunkan kemenangan kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman.” [At-Taubah 25-26]

 

Penutup : Wa’Bud Rabbaka Hatta Ya’tiyakal Yaqin

Nah, kalau kita teliti semua ini, akhirnya kita sampai kepada kesimpulan bahawa kehidupan kita tidak boleh lepas lari dari sentiasa memerhati, memuhasabah, membersihkan dan memperbaiki iman kita.

Ia adalah proses berterusan sepanjang hayat. Tidak ada hentinya. Kalau para sahabat yang telah beberapa kali menghadapi Ramadhan sehingga sampai ke perang Hunain itu pun masih saja menerima teguran iman dari Allah s.w.t., maka, kita apatah lagi harus lebih memberikan tumpuan kepada pembaikan iman kita.

Iman itu meningkat dengan amal soleh dan ketaatan, berkurang dengan dosa dan kemaksiatan.

Akhirnya ingatlah, “dan sembahlah Tuhanmu sehingga datang kepadamu keyakinan (yakni kematian).”[4]

Kematianlah penamat segalanya, penamat dalam beramal, penamat kemampuan kita untuk terus beribadah. Bukan hujung bulan atau berakhirnya Ramadhan.


[1] Ibn Kathir, 4/599

[2] Sirah Rasul s.a.w., Ar-Rahiq Al-Makhtum

[3] HR Muslim, Kitab Nikah, Bab Istihbab At-Tazawwuj Wa Tazwij Fi Syawal Wa Istihbab Ad-Dukhul Fihi, no. 1423

[4] Al-Hijr : 99

 

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Afdholul Rahman)

Komen


Berita Berkaitan