Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

PERJANJIAN MALAYSIA 1963 AKAN “DIHIDUPKAN” SEMULA: TUN MAHATHIR

Tun Mahathir menyampaikan ucaptama Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018. Gambar Bernama

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) — Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan bahawa kerajaan akan memberi layanan yang adil kepada Sabah dan Sarawak dan tidak akan membezakan pelaksanaan dasar dan pembangunan di kedua-dua negeri itu dengan negeri-negeri Semenanjung Malaysia.

Perdana Menteri berkata dalam soal gaji minima sebagai contoh, kedua-dua negeri itu akan menikmati jumlah yang sama dengan Semenanjung Malaysia selain pembangunan infrastruktur yang sama.

“Kita perlu membangunkan infrastruktur di Sabah dan Sarawak supaya sama dengan infrastruktur di Semenanjung, tetapi harus diingat jumlah penduduk di sana kurang daripada Semenanjung.

“Sebab itu ternampak seolah-olah kita memberi keutamaan kepada penduduk di Semenanjung tetapi sebenarnya kita mengambil kira return on investment sama ada infrastruktur itu dapat digunakan sepenuhnya oleh penduduk Sabah dan Sarawak,” katanya dalam sesi dialog Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai langkah kerajaan membantu Sabah dan Sarawak agar kedua-dua negeri tersebut mengecapi kemajuan seperti Semenanjung Malaysia.

Dr Mahathir berkata, kerajaan juga akan ‘menghidupkan’ kembali Perjanjian Malaysia 1963 dan akan memberi tumpuan untuk melaksanakan perkara-perkara yang terkandung di dalamnya berdasarkan kemampuan kerajaan.

Beliau juga berharap pihak-pihak yang mewakili Sabah dan Sarawak dapat menyuarakan pandangan mereka untuk memastikan kerajaan dapat membangunkan kedua-dua negeri berkenaan.

“Dalam Kabinet juga kita mempunyai cukup wakil-wakil daripada Sabah dan Sarawak dan mereka ini bukan orang yang diam sahaja tetapi banyak menegur dan mereka memberi perhatian kepada keadaan di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Terdahulu, perdana menteri turut menyampaikan ucaptama pada kongres itu yang diadakan bertujuan sebagai wacana kepada usaha kerajaan untuk menggubal agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang baharu.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan