Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,657

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Perjalanan Menuju Tuhan – Menutup Aib Diri & Orang Lain

9:56am 11/10/2016 Zakir Sayang Sabah 45 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Rakan-rakan yang saya muliakan, sampai kita kepada bab yang seterusnya. Sesungguhnya kita bersyukur ke hadrat Allah SWT yang membantu kita untuk meneruskan pembacaan, memanjangkan hayat kita untuk berusaha menjadi manusia yang baik. Kepada Allah SWT segala pujian dan pujaan. Moga-moga dikurniakan kepada kita hati-hati yang lembut, untuk benar-benar rasa tersentuh dengan penyampaian-penyampaian bermanfaat.

Rakan-rakan yang saya muliakan, sering saya ulang dalam penyampaian saya di seminar atau di dalam buku-buku saya, bahawa dosa itu mestilah kita pandang ibarat najis.

Ya, najis.

Apa reaksi kita kepada najis?

Kotor, jijik.

Jika terdapat najis pada pakaian kita, apa yang kita lakukan?

Cuci.

Sekiranya kita ternampak najis pada tubuh orang lain, apa yang sepatutnya kita lakukan?

Memberitahu kepadanya, dan jika mampu, membantunya membersihkan najis tersebut.

Ya, demikianlah juga sepatutnya kita memandang dosa. Sesuatu yang kotor dan jijik. Sesuatu yang mesti dicuci. Sekiranya kita melihatnya pada orang lain, tindakan yang sepatutnya kita lakukan adalah membantu dia untuk membersihkannya, bermula dengan memberitahunya akan kewujudan najis tersebut.

Apakah kita suka untuk mengwar-warkan kepada sekalian alam, bahawa pada baju kita ada najis? “Hoi sekalian manusia, pada baju aku ni ada najis.”

Tidak, sepatutnya kita rasa malu. Kerana kita tahu, najis itu jijik dan kotor. Maka mengapa kita hendak memberitahu kepada orang lain?

Apakah juga merupakan tindakan yang baik, sekiranya kita mengwar-warkan kepada orang ramai bahawa pada baju fulan/fulanah ada najis? “Wei korang, meh tengok ni, baju dia ni ada najis.”

Tidak juga.

Demikianlah kita dalam berurusan dengan dosa.

 

Dosa & Kemungkaran Tidak Perlu Dikongsi

Rakan-rakan yang saya muliakan, dosa itu menjemput kemurkaan Allah SWT. Ternyata ia sesuatu yang besar. Maka selayaknya dosa itu menjadi salah satu aib yang kita perlu sembunyikan. Bukan satu kebanggaan. Bukan satu piala untuk kita tayang. Bukan satu memori indah untuk kita kongsikan.

Apakah kita berbangga baju kita tercalit najis? Apakah kita ingin berkongsi baju tersebut dengan orang lain? Sepatutnya tidak.

Maka demikianlah juga dosa. Sepatutnya tidak kita rasa berbangga apabila melakukannya. Apatah lagi dikongsi, ditayang kepada manusia yang lainnya. Begitulah apabila kita melihat orang lain melakukan dosa, tidak pantas untuk kita menyebarkan keaibannya.

Seorang mukmin tidak akan memandang enteng dengan dosa. Dosa itu ibarat gunung yang bakal menghempapnya. Maka sepatutnya, ketakutan dirinya kepada Allah SWT di atas dosa yang telah dia lakukan, menyebabkan dirinya malu untuk mendedahkan dosa-dosanya.

Rakan-rakan yang saya muliakan, masalah utama yang perlu kita selesaikan ialah, menghilangkan rasa ‘okay’ dengan dosa. Rasa tidak mengapa. Rasa ‘alah itu hanya perkara kecil’. Kita perlu hilangkan perasaan-perasaan sedemikian di dalam jiwa kita.

Sekiranya kita ada dosa yang masih tidak mampu kita tinggalkan, tindakan kita ialah sekurang-kurangnya, tidak berkongsi akan dosa tersebut bersama orang lain. Tidak juga mengajak orang lain untuk bersama kita melakukannya.

Amat malang sekiranya kita sudahlah melakukan dosa dan keingkaran, tetapi tidak pula malu untuk menyembunyikannya, bahkan lebih buruk, kita menghasut pula orang lain, melibatkan orang lain, untuk melakukannya. Daripada satu dosa, yakni dosa si pembuat dosa, kita tambah dengan dosa melibatkan orang lain sama, dosa penghasut.

Rakan-rakan, semua ini hanya akan berlaku sekiranya kita merasakan bahawa dosa itu ialah urusan enteng, dan bukanlah perkara untuk dibesar-besarkan. Apa salahnya tunjuk pada orang? Kita kata. Aku bukan hipokrit, kita kata.

Ini bukan perbahasan mengenai hipokrit atau tidak. Ini adalah perbahasan bahawa kita ada rasa malu dan rasa bersalah dengan dosa yang kita lakukan. Hanya orang yang rasa dirinya tidak bersalah sahaja, sudi untuk mempamerkan perbuatannya. Orang kata, berani kerana benar. Maka apakah kita berani mempamerkan dosa kita, mengajak orang lain melakukan dosa bersama kita, kerana kita yakin kita benar?

Adakah itu mesej yang kita ingin sampaikan kepada Allah SWT? Atau bagaimana?

Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Tahu bahawa hamba-hambaNya itu melalui jalan yang mencabar untuk menjadi hambaNya yang baik. Allah SWT Maha Tahu ujian yang Dia letakkan kepada hamba-hambaNya di dalam kehidupan ini. Maka apabila kita berbuat dosa, melakukan keingkaran, Allah Maha Tahu kelemahan dan kekurangan kita. Sepatutnya kita usahakan apa yang termampu, beristighfar, dan paling kurang, menyedari bahawa apa yang kita lakukan itu ialah kesalahan, lantas kita menyembunyikannya dari pandangan ramai. Moga-moga dengan tindakan kita yang sedemikian, tandanya ada iman di dalam jiwa, moga-moga Allah SWT sudi memberikan kita kekuatan dan mengampunkan dosa-dosa yang kita lakukan itu. Kita berharap Allah SWT sudi memberikan belas ihsanNya kepada kita.

Menyembunyikan keaiban ini adalah tanda jiwa kita masih ada taqwa.

Tanda kita mengakui bahawa apa yang kita lakukan itu ialah satu kesalahan, satu perkara yang mesti diperbetulkan. Bukan satu perkara biasa, satu perkara remeh, yang patut kita biarkan sahaja.

Hayati firman Allah SWT berikut:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui.” Surah An-Nur ayat 21.

 

Jika Sudah Bertaubat, Jangan Diungkit-ungkit Lagi

Rakan-rakan yang dikasihi, menutup keaiban ini juga bukan hanya patut berlaku pada ketika kita masih melakukan dosa dan keingkaran.

Selepas kita bertaubat, berazam untuk meninggalkannya, berusaha untuk melakukan perubahan diri, dan mungkin, insyaAllah, berjaya meninggalkannya, kita tidak patut mengungkit-ungkitnya lagi.

Tidak perlu kita kongsikan kepada orang lain, kononnya sebagai pengajaran, sebagai tauladan kepada orang ramai. Dirisaukan kita terjerumus ke dalam perasaan berbangga-bangga pula bahawa kita pernah melakukan dosa-dosa sedemikian rupa, dan berbangga-bangga pula bahawa kita berjaya meninggalkannya sedangkan orang lain masih terkial-kial dengannya.

Saya memahami di kalangan masyarakat kita, popular dengan penghijrahan selebriti, artis, atau individu tertentu, yang kemudiannya dibawa ke sana ke mari untuk memberikan penyampaian, perkongsian berkenaan kehidupan lalu mereka, dan bagaimana mereka boleh berubah. Pada hemat saya, untuk manusia yang memang sudah makruf akan kekurangan dan kesilapannya yang lepas, tidak mengapa untuk dia berkongsi bagaimana dia berjaya melakukan perubahan. Kerana dia telah melakukan dosanya secara terbuka sebelum ini, hingga pada kadar yang terlalu luas(contohnya, dosanya tersebar luas di televisyen), maka adalah baik bagi masyarakat untuk melihat keinsafannya, dan mengetahui bagaimana proses perubahannya, agar mereka yang sebelum ini menikmati keingkaran yang ditayangkan individu tersebut, turut sama tergerak untuk insaf.

Apa yang saya tekankan di sini adalah untuk individu-individu yang langsung tiada keperluan untuk membangkitkan dosa-dosanya yang lalu. Dia tidak ditanya berkenaan dosanya, tidak ditanya berkenaan apa yang dia lakukan. Mungkin dia hanya dijemput untuk memberikan penyampaian atau perkongsian berkenaan dosa dan taubat, tetapi tiba-tiba dia berkongsi “Saya pun dulu pernah berzina juga”, “Saya pun dulu kaki disko.” Ternyata sedemikian tidak perlu bahkan tidak baik.

Allah SWT sudah membantu kita meninggalkan semua itu, maka mengapa kita perlu membangkitkannya semula tanpa keperluan yang munasabah.

Bahkan, ada ganjaran sebenarnya bagi mereka yang berusaha menutup aibnya sendiri ini.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya (pada hari kiamat) Allah akan mendekatkan seorang mukmin, lalu Allah meletakkan tabir dan menutupinya. Lalu Allah berfirman: Apakah kamu mengetahui dosa ini? Apakah engkau tahu dosa itu? Dia menjawab: Ya, betul saya tahu wahai Rabbku. Hingga ketika Allah telah membuat dia mengakui semua dosanya dan dia mengira dirinya sudah akan binasa, Allah berfirman kepadanya: Aku telah menutupi dosa-dosa ini di dunia, maka pada hari ini Aku mengampuni dosa-dosamu itu. Lalu diberikanlah padanya catatan kebaikan-kebaikannya.” Hadith Riwayat Bukhari.

Hadith ini menerangkan akan bagaimana orang yang menyembunyikan dosa-dosanya itu, diampunkan oleh Allah SWT. Walaupun yang menyebut “Aku telah menutupi dosa-dosa ini di dunia” ialah Allah SWT, tetapi ternyata itu ialah hasil yang Allah kurniakan, bermula dengan tindakan si pembuat dosa yang berusaha menutup aibnya sendiri.

Ya, ada ganjaran, dan ganjarannya tidak kecil. Pengampunan daripada dosa.

Mengapa?

Inilah yang saya cuba jelaskan pada subtopik yang lepas. Yakni kita mengharap belas kasihan Allah SWT dengan kita menyembuyikan dosa-dosa kita. Ada manusia, dia telah bersungguh-sungguh berusaha berubah, tetapi tidak mampu. Apa yang paling mampu dia usahakan hanyalah menyembunyikan dosa-dosanya daripada pandangan ramai. Orang tidak tahu dia melakukan keingkaran kepada Allah SWT. Maka kita berharap, dengan tindakan kita yang sedikit itu(menyembunyikan dosa-dosa kita), Allah SWT sudi mengampunkan kita.

Dan ini bukan mustahil. Perhatikan hadith berikut:

“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu.” Hadith Riwayat Bukhari.

Ya, kebaikan memberi minum anjing yang kehausan, hasil kasih sayang Allah SWT, menghapuskan dosa seorang pelacur.

Maka kita berharap belas ihsan Allah SWT, apabila kita menutupi keaiban diri, tidak mendedahkan dosa kita kepada orang lain, tidak mengajak orang lain terlibat sama. Kita akui apa yang kita lakukan itu satu kesalahan, satu dosa, satun keingkaran. Kita tidak katakan ianya okay, ianya remeh, kita tidak kata “Ala esok boleh taubat” atau “ala, Allah kan Maha Pengampun.” Kita nak bertaubat, tetapi mungkin tidak berjaya, asyik kembali jatuh dan jatuh. Jadi antara usaha kita yang lain ialah menyembunyikannya, tidak berbangga dengannya, tidak berkongsi akannya.

Moga-moga Allah SWT mengasihani kita dan mengampunkan kita.

 

Tutup Aib Orang Lain, Usaha Bawa Ke Jalan Kebenaran Bukan Didedahkan

Begitulah juga rakan-rakan, dalam kita berurusan dengan orang lain. Kadangkala apabila kita rapat dengan seseorang, semakin rapat, semakin terbukalah aib dan kekurangannya. Dan mungkin sahaja kita akan menemui mereka dalam keadaan sedang melakukan keingkaran kepada Allah SWT.

Biasa sahaja kedengaran cerita ‘rakan yang baik kantoi sedang menonton video lucah di dalam bilik berseorangan’. Biasa kedengaran cerita sebegini?

Rakan-rakan yang saya muliakan, apakah tindakan yang sepatutnya?

Tidak sedikit yang bertindak menyuarakan kekecewaan, berkongsi kejadian tadi dengan orang lain sambil berkata: “Tak sangka aku, ingatkan dia orang ikut usrah, kuat berdakwah, rupanya dalam bilik dia tengok cerita lucah.” Begitulah yang biasa kita dengar.

Rakan-rakan, itu adalah sikap yang tidak sepatutnya kita lakukan.

Dia telah berusaha menyembunyikan aibnya di dalam bilik, berseorangan. Maka mengapa kita sebarkan kepada orang lain? Dia di luar, di hadapan orang lain, telah berusaha mempersembahkan kebaikan, mengajak orang lain melakukan kebaikan, tidak menunjukkan contoh yang buruk, maka mengapa apabila kita mengetahui kekurangan dirinya yang cuba disembunyikan, kita rosakkan imej baik dirinya? Sekaligus sebenarnya kita telah merosakkan kebaikan-kebaikannya, dan boleh membuatkan orang ramai membenci pula kebaikan-kebaikan, dan tidak mempercayai orang-orang yang baik.

Menutup aib orang lain ini juga digesa di dalam Islam.

Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang melepaskan dari seorang mukmin satu kesusahan yang sangat dari kesusahan dunia niscaya Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan di hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang sedang kesulitan niscaya Allah akan memudahkannya di dunia dan nanti di akhirat. Siapa yang menutup aib seorang muslim niscaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan kelak di akhirat. Dan Allah senantiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu menolong saudaranya.” Hadith Riwayat Muslim.

“Wahai sekalian orang yang beriman dengan lisannya dan iman itu belum masuk ke dalam hatinya. Janganlah kalian mengghibah kaum muslimin dan jangan mencari-cari/mengintai aurat mereka. Karena orang yang suka mencari-cari aurat kaum muslimin, Allah akan mencari-cari auratnya. Dan siapa yang dicari-cari auratnya oleh Allah, niscaya Allah akan membongkarnya di dalam rumahnya (walaupun ia tersembunyi dari manusia).” Hadith Riwayat Ahmad dan Abu Dawud.

“Tidaklah Allah menutup aib seorang hamba di dunia melainkan nanti di hari kiamat Allah juga akan menutup aibnya.” Hadith Riwayat Muslim.

Ya, digesa beserta ancaman. Sekiranya kita mencari-cari atau membuka aib orang lain, Allah SWT akan membuka keaiban kita pula. Na’udzubillah.

Membuka keaiban orang lain ada implikasi yang besar. Kita tidak tahu apakah pertarungan jiwa yang dihadapi seseorang. Setiap orang ada syaitan untuk ditewaskan. Maka apabila ianya tersembunyi daripada pandangan manusia, buat apa kita sebarkan. Kerana boleh jadi apabila kita menyebarkan aibnya, menyebabkan dia mengalami kekecewaan dan keputus asaan daripada usaha untuk melakukan kebaikan. Apakah kita yang akan bertanggungjawab kemudian?

Tindakan yang sepatutnya apabila terjumpa dengan aib seseorang ialah (1) Menyembunyikannya, (2) Jika mampu, bantu dia untuk meninggalkannya. Itu tindakan yang selayaknya.

Dan jangan salah faham pula konsep menutup aib ini, hingga menyamakannya dengan berdiam diri terhadap jenayah. Apa yang dikatakan sebagai menutup aib ini, terhad kepada dosa dan keingkaran berbentuk peribadi, yang tidak melibatkan orang lain, tidak melibatkan harta awam.

Sekiranya seorang menteri contohnya, dipalitkan dengan skandal menggelapkan harta awam, menyalah guna harta rakyat, tidak ada buatnya konsep penutupan aib. Bahkan orang yang tahu, mesti mendedahkannya  supaya tindakan pihak tersebut dapat diadili dengan sebaik mungkin, dan hak-hak orang lain yang telah diambil dapat dipulangkan pada yang berhak.

Contoh lain, kita melihat pembunuhan. Tidak patut kita rahsiakan, perlu untuk kita laporkan kepada polis. Supaya yang terbunuh mendapat keadilan, keluarganya mendapat hak yang selayaknya.

Contoh lain, kita melihat kecurian atau rompakan, dan berjaya mengenal pasti wajah pencuri atau berjaya mendapat nombor plat kenderaannya, wajib untuk kita sebarkan, agar pihak berkuasa dapat mencari Si Pencuri, memberikan pembalasan dan mengembalikan hak orang-orang yang teraniaya.

Semoga Allah SWT sudi menutup keaiban kita semua.

Sesungguhnya jikalah sekalian manusia tahu akan kesemua aib kita, nescaya tidak akan ada seorang pun akan sudi mendekati.

Sesungguhnya kita manusia yang banyak kekurangan. Kita harap orang memahami. Begitulah juga orang lain, mereka juga manusia sama macam kita. Semoga kita ada sikap untuk saling memahami, dan sama-sama lengkap melengkapi, bantu membantu, dalam usaha kita untuk pulang menuju Allah SWT, dalam keadaan berjaya.

Firman Allah SWT: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” Surah Al-Maidah ayat 2.

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Hilal Asyraf)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan