Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Perintah Gaji Minimum 2016 Undang Reaksi Pelbagai

gambar hiasan
gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Pengumuman Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai ini ke atas semua majikan tanpa mengira bilangan pekerja mengundang reaksi berbeza daripada pelbagai pihak.

Presiden Persatuan Rangkaian Usahawan India Malaysia (1MINE) Datuk S. Gopinath berkata langkah kerajaan menetapkan gaji minimum itu selaras dengan hasrat negara ke arah mencapai status negara maju.

“Terdapat kemungkinan gaji minimum ini ditingkatkan kepada RM1,500 menjelang 2020 dan sesungguhnya ia perlu, bagi mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau juga berpendapat gaji antara Semenanjung Malaysia serta Sabah, Sarawak dan Labuan perlu diselaraskan memandangkan masyarakat negara ini bernaung di bawah prinsip 1Malaysia.

Bagi Pengarah Syarikat Sepen Engineering Sdn Bhd Wong Kah Poh, PGM 2016 menjadi beban tambahan dan cabaran terbesar kepada majikan.

“Secara jujurnya, peniaga mempunyai metadologi tersendiri bagi mengembangkan bisnes tetapi pengumuman sebegini jelas, menjejaskan matlamat kami dan kemungkinan besar perlu melaksanakan pembuangan kakitangan bagi mengurangkan kos operasi,” katanya.

Sementara itu, A. Karpagam, 49, seorang tukang sapu bangunan di Puchong berkata beliau amat berpuas hati dengan pengumuman itu.

“Walaupun tidak banyak, ia tetap membantu menampung perbelanjaan keluarga saya dan membolehkan saya menyimpan sedikit di bank,” katanya.

Kerajaan mengumumkan PGM 2016 akan berkuat kuasa mulai 1 Julai tahun ini ke atas semua majikan tanpa mengira bilangan pekerja.

Kadar gaji minimum ditetapkan mengikut wilayah iaitu RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejam bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan atau RM4.42 sejam bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan