Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,712

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Perintah Gaji Minimum 1 Julai Tanpa Penangguhan

6:34pm 30/06/2016 Pak Roshan 8238 views Mutakhir,Nasional
gambar hiasan

gambar hiasan

PUTRAJAYA – Perintah Gaji Minimum 2016 iaitu RM1,000 sebulan bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan bagi Sabah, Sarawak dan Labuan dikuatkuasakan mulai esok tanpa sebarang penangguhan, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Beliau berkata dakwaan sesetengah pihak bahawa tiada masa yang mencukupi bagi para majikan untuk membayar gaji minimum baharu itu mulai tarikh itu adalah tidak berasas.

Katanya dakwaan bahawa kedudukan ekonomi semasa negara adalah kurang baik juga tidak tepat kerana pelbagai indikator, contohnya pertumbuhan produktiviti buruh bagi tahun 2015 menunjukkan peningkatan kepada RM75,538 daripada RM73,091 pada 2014.

Pelaburan Langsung Asing (FDI) bagi tahun 2015 juga menunjukkan peningkatan positif iaitu sebanyak RM43,435 juta daripada RM35,600 juta pada 2014, katanya.

“Dalam menetapkan kadar gaji minimum baharu ini, kerajaan telah meneliti semua syor Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dan mengambil pendekatan ‘balanced approach’ dengan mengambil kira kepentingan pihak majikan dan pekerja termasuk kedudukan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Kadar gaji minimum baharu itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2016 di Dewan Rakyat pada 23 Okt 2015.

Riot berkata hebahan mengenai kadar gaji minimum baharu itu telah dibuat menerusi pelbagai saluran oleh kementerian termasuk melalui program libat-urus yang diadakan di seluruh negara sepanjang bulan Jun bagi meningkatkan kesedaran pihak majikan dan kesatuan sekerja berhubung Perintah Gaji Minimum 2016.

Beliau berkata aktiviti penguatkuasaan berhubung pembayaran gaji minimum akan dipergiatkan oleh Jabatan Tenaga Kerja bagi memastikan perintah itu dipatuhi.

“Mana-mana pihak yang tidak mematuhi perintah tersebut, jika disabitkan boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 bagi setiap kesalahan dan RM1,000 sehari bagi kesalahan berterusan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

“Majikan yang melakukan kesalahan berulang boleh dikenakan penalti sehingga RM20,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Riot berkata pelaksanaan gaji minimum baharu meliputi semua majikan termasuk majikan sektor perhotelan dan mereka dikehendaki membayar gaji minimum iaitu gaji pokok (tanpa elemen caj perkhidmatan) tidak kurang daripada RM1,000 sebulan di Semenanjung Malaysia atau RM920 sebulan di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Katanya majikan berintensifkan buruh disyorkan agar berusaha gigih ke arah mekanisasi dan automasi proses pengeluaran bagi meningkatkan produktiviti dan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing kurang mahir.

“Kerajaan yakin dasar gaji minimum ini akan mampu melonjakkan pendapatan pekerja sekali gus dapat membantu meningkatkan ekonomi negara dalam mencapai matlamat Negara Maju Berpendapatan Tinggi menjelang tahun 2020,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2016 boleh didapati melalui Urus Setia Majlis Perundingan Gaji Negara di talian 03-88865156 atau e-mel [email protected] atau mana-mana Pejabat Tenaga Kerja berdekatan. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan