Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Perintah berkurung langkah terbaik

musa aman perintah berkurung

KOTA KINABALU – Lanjutan perintah berkurung di enam daerah di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) merupakan langkah terbaik bagi menyekat anasir-anasir yang tidak diingini termasuk mengekang jenayah rentas sempadan dan pencerobohan di kawasan terbabit.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, buat masa ini, perintah berkurung perlu dilanjutkan sehingga pihak berkuasa serta kerajaan berpuas hati dan bersedia untuk menamatkan arahan itu.

“Kita belum berpuas hati (perintah berkurung), tetapi kita sentiasa berwaspada dengan apa perkara yang dilakukan kerana ada kesan dan pihak tertentu sedar kita serius menangani masalah ini dengan adanya perintah berkurung.

Pihak keselamatan akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya apabila mereka yang menceroboh dan memasuki perairan kita mengikut keadaan semasa.

Apabila keadaan tenteram, aman dan tiada masalah…kita akan longgarkan sedikit. Setakat ini kita rasakan masih perlu untuk keselamatan rakyat dan Sabah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Mengibar Jalur Gemilang peringkat negeri di sini, hari ini.

Beliau mengulas lanjutan tempoh perintah berkurung di enam daerah di Esszone yang dikenakan sebelum ini berakhir 2 Ogos lepas.

Komander Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Abdul Rashid Harun mengumumkan perintah berkurung itu bermula pukul 6 petang hingga 6 pagi berkuat kuasa semalam sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Musa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Sabah (JKKN) berkata langkah itu juga membuktikan keseriusan kerajaan dalam memastikan keselamatan di perairan Sabah lebih terjamin selain memantau situasi dari semasa ke semasa.

Mengenai kesan perintah berkurung kepada nelayan, Musa berkata pihaknya akan mempertimbangkan bantuan kewangan kepada nelayan yang terjejas khususnya di kawasan perairan pantai timur Sabah dan nelayan tradisional di daerah berkenaan.

Beliau menasihatkan para nelayan khususnya nelayan tradisional di pantai timur mematuhi arahan yang dikeluarkan selain memohon permit kebenaran keluar bagi meneruskan punca pendapatan mereka di laut.

Perintah berkurung itu merangkumi daerah Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau yang sebelum ini dikenakan mulai 19 Julai lalu selama 14 hari berikutan serangan kumpulan bersenjata ke atas dua anggota polis marin di Pulau Mabul, Semporna pada 12 Julai.

Komen


Berita Berkaitan