Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Perintah Berkurung Di Esszone Dilanjut Hingga 30 Nov – Polis

KOTA KINABALU, 14 Nov – Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir 6 petang esok, dilanjutkan sehingga 30 Nov, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din.

Beliau berkata dengan pelanjutan itu, mereka yang tinggal di kawasan berkenaan diminta berada di dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan perairan tersebut dari 6 petang hingga 6 pagi sepanjang tempoh berkenaan.

“Orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan yang telah diisytiharkan antara  6 petang dan 6 pagi pada tarikh yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata perintah berkurung tersebut meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Katanya perintah berkurung itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas sehingga boleh mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau-pulau peranginan.

Ramli berkata berdasarkan maklumat, terdapat kumpulan militan dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina, masih cuba menceroboh bagi melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

Beliau berkata perintah berkurung itu juga bagi memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran kapal anggota keselamatan di sekitar kawasan mereka.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di daerah Esszone untuk mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan