Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

PERCEPATKAN PEMBENTANGAN RUU SURUHANJAYA HARMONI DAN PERDAMAIAN- CHAN FOONG HIN

KUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen kerajaan menggesa Rang Undang-Undang Akta Suruhanjaya Harmoni dan Perdamaian diawalkan pembentangannya di Dewan Rakyat tahun ini.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata saranannya itu selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong berkehendakan tindakan tegas diambil terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara.

Chan Foong Hin. Gambar Fail SNT

“Orang Sabah amat khuatir tentang perkembangan politik semasa di Semenanjung, di mana isu politik sering dimainkan berdasarkan sentimen agama dan kaum.

“Akta ini amat penting untuk memastikan isu keharmonian diberikan perhatian khusus dan bukan menumpang dalam akta-akta lain.

“Orang Sabah amat sensitif tentang harmoni, dan mungkin inilah sebabnya bekas wakil rakyat Umno memilih keluar parti, dan Umno Sabah tidak mahu berkerjasama dengan Pas,” katanya.

Mengambil bahagian dalam perbahasan usul Junjung Kasih Titah diRaja sempena pembukaan Parlimen bagi sesi pertama tahun ini, Chan berkata Kerajaan Pakatan Harapan membawa banyak reformasi tentang hubungan Sabah – Persekutuan.

Ini termasuklah pindaan Perlembagaan, Perkara 1(2) yang bakal dibentang dalam sesi persidangan ini, untuk mengembalikan status rakan kongsi kepada Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Beliau juga mengucapkan syabas kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana mengkaji semula cara perolehan agar ketirisan tidak berlaku.

Seperti contoh, subsidi untuk silinder LPG sekeluarga telah meningkat dari tujuh ke 12 silinder.

Manakala itu, 90 peratus daripada subsidi pengangkutan tujuh barangan keperluan  termasuk diesel, petrol, LPG, gula, beras, tepung dan minyak masak, berjumlah RM140 juta telah disasarkan untuk kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Begitu juga dengan harga tiket kapal terbang di antara lapangan terbang utama Sabah, Sarawak dan KLIA menjelang musim perayaan seperti perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini telah dikawal pada aras yang berpatutan.

Chan berkata satu lagi pembaharuan yang dibuat oleh Kerajaan Pakatan Harapan ialah cara pengiraan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor daripada berasaskan Berat Dengan Muatan (BDM) kepada Berat Tanpa Muatan (BTM) mulai 1 April ini.

Ini menyebabkan cukai jalan LKM di Sabah jatuh mendadak daripada RM2,478 turun ke RM718.

“Pengerusi Persatuan Lori Sabah berkata walaupun beliau sudah berjumpa dengan lima atau enam Menteri Pengangkutan dulu yang dipegang oleh MCA, tetapi satu pun tidak dapat melakukan pembaharuan ini,” katanya.

VISA ON ARRIVAL (VOA)

Dalam hal lain, Chan memohon agar pelaksanaan Visa on Arrival (VOA) ataupun pemberian visa sebaik pelancong tiba di lapangan terbang dipanjangkan juga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

“Kawasan saya Kota Kinabalu merupakan destinasi pelancongan yang popular di kalangan pelancong asing, terutama China dan Korea.

“Sebagai contoh, seminggu terdapat 125 penerbangan terus dari China ke KKIA. Tahun lalu Sabah mencatat rekod sejarah tertinggi untuk kedatangan pelancong, 3.879 juta pelancong yang membawa pulangan RM8.342 billion,” katanya.

Chan berkata memandangkan Perdana Menteri telah bersetuju agar VOA dilaksanakan di Pulau Langkawi, beliau amat berharap ianya dapat dilaksanakan di KKIA juga.

Menurut Chan, sektor industri dan pembuatan hanya menyumbang 7.5 peratus kepada pendapatan Sabah, maka itu negeri Sabah amat bergantung kepada aktiviti pelancongan dan VOA dilihat akan merancakkan lagi industri ini

PERUNTUKAN TAMBAHAN ATASI KESESAKAN LALU LINTAS BANDARAYA KOTA KINABALU

Chan turut memohon bagi peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas Bandaraya Kota Kinabalu menjelang tahun 2025.

Beliau berkata peruntukan tambahan tersebut adalah untuk Jalan Kolam, Luyang, Jalan Rampayan, Kuala Menggatal, Jalan Donggongon- Tambunan, Penampang dan Jalan Tuaran Bypas, Kuala Menggatal.

Chan berterimakasih kerana Kerajaan sudah meluluskan projek naiktaraf atau pembinaan jalanraya baharu dengan kos RM3 billion untuk Bandaraya Kota Kinabalu iaitu bagi Jalan UMS, Kuala Menggatal; Jalan Tun Fuad Stephen dan Jambatan Ketiga Yayasan, Teluk Likas; KK outer ring road serta Jalan Lintas, Fasa 1 dan 2.-SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan