Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Perbanyakkan Bertaubat Bagi Mengadapi Ujian Dengan Tenang

Gambar Hiasan

 

“Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh-kesah lagi kikir. Apabila dia ditimpa kesusahan, dia berkeluh-kesah. Apabila dia mendapat kebaikan, dia amat kikir, kecuali orang yang mengerjakan solat, yang tetap mengerjakan solatnya.”Surah Al-Ma’rij: 19 – 22

Berdasarkan ayat di atas, tidaklah menjadi kehairanan kenapa diri kita ini gembira di pagi hari, marah di tengah hari kemudian berduka pula di malam hari.

Ada masa-masanya, kita rasa amat sedih hari ini dari pagi hingga ke petang, tetapi gembira pula pada keesokan harinya. Adakalanya kaki sendiri terpijak batu kerikil di tepi jalan, boleh membuat kita marah hingga merah muka.

Ini bukan aneh, bukan juga terjadi kepada segelintir umat manusia, tetapi sebilangan besar. Bukan merupakan sesuatu yang tidak normal kerana begitulah kejadian manusia yang dikurniakan dengan nafsu dan akal.

Setiap perubahan perasaan ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor, antaranya bebanan kehidupan yang ditanggung, pertengkaran di dalam rumah atau di luar, kepiluan kerana kehilangan cinta atau harta benda dan lain-lain hal.

Lumrah manusia sebagai makhluk Allah SWT dihadapkan dengan pelbagai ujian, cubaan, masalah dan juga rintangan dalam kehidupannya.

“(Wahai manusia) Kamu pasti akan diduga (oleh Allah) melalui harta dan diri kamu.”Surah Ali Imran: 186

Jadi, bagaimana untuk menjaga hati agar sentiasa tenang dan tabah? Biarlah seribu rintangan mendatang, namun hidup mesti diteruskan. Jangan diberikan lampu sorot atau dibesarkan saiz perkataan putus asa dan kecewa dalam kamus kehidupan kita.

Seringlah berdoa ke hadrat Ilahi, memohon keampunan daripada-Nya. Ya, mungkin sesuatu hal itu bukan berpunca daripada kita, tetapi ingatlah, Allah SWT menyukai hamba-Nya yang bertaubat. Bertaubatlah, meskipun tidak terlibat dalam perkara-perkara maksiat.

“Wahai manusia, bertaubatlah kamu semua kepada Allah! Sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah sebanyak 100 kali dalam sehari.”Riwayat Muslim

Itu bagi Rasulullah SAW yang maksum, bagi kita, sewajarnya lebih-lebih lagi. Bukan sahaja bertaubat itu memohon keampunan daripada Yang Maha Pengampun, malah menenangkan jiwa yang bergelora juga.

Saat hati gundah dan gelisah, padamkan api kegelisahan dalam hati dengan berwuduk. Kemudian bentangkan tikar sejadah lalu kerjakanlah solat sunat dua rakaat, iaitu solat sunat taubat.

Bilakah Waktu Yang Sesuai Untuk Solat Sunat Taubat?

Tidak ada waktu yang khusus yang ditetapkan untuk mengerjakannya. Solat sunat taubat boleh dilakukan pada waktu siang mahupun malam, terpulang kepada empunya diri.

Cuma disarankan untuk dilakukan pada waktu malam seperti dua pertiga malam atau pada waktu sahur. Ini kerana keadaan pada masa itu lebih tenang dan sunyi. Semoga dengan itu, kita dapat lebih tenang dan kusyuk menyerahkan diri kepada-Nya.

Untuk mengerjakannya juga mudah. Mulakan dengan niat;

“Aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala.”

Selepas takbir dan Fatihah, baca surah Al-Kafirun. Pada rakaat kedua, baca surah Al-Ikhlas. Apa yang membezakan solat sunat taubat dengan solat sunat yang lain adalah pada bacaan dalam sujud akhir. Bacalah doa Nabi Yunus A.S saat berada dalam perut ikan nun iaitu;

لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنتَ ، سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
“Tiada Tuhan melainkan Dikau (Allah)! Maha Suci Dikau! Sesungguhnya aku ini termasuk daripada golongan orang yang aniaya (zalim).”Surah Al Anbiya’ : 87

Selepas memberi salam, bacalah doa memohon keampunan;

“Aku memohon ampun kepada Allah, Aku memohon ampun kepada Allah, Aku memohon ampun kepada Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus!

Aku bertaubat kepada-Nya selaku taubatnya seorang hamba yang banyak dosa yang tidak berdaya untuk menolak mudarat atau berbuat manfaat dan tidak mampu mematikan atau menghidupkan mahupun membangkitkan (di Padang Mahsyar kelak).

Aku mohon perlindungan-Mu daripada dosa, kemalasan, dugaan kubur dan seksanya. Aku mohon perlindungan-Mu daripada segala kesalahan dan hukuman.

Ya Allah! Bersihkanlah diriku daripada dosa-dosa sebagaimana kain putih dibersihkan daripada kekotoran. Ya Allah! Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu di atas segala dosaku, dan daku berjanji tidak akan mengulanginya.

Ya Allah! Pengampunan-Mu adalah lebih luas daripada dosa-dosaku dan pengampunan-Mu terhadapku adalah lebih tertunai daripada amalan baikku. Ya Allah! Sesungguhnya aku telah banyak menganiaya diriku sendiri, tiada yang dapat mengampuni dosaku itu kecuali Dikau; Maka berikanlah daku keampunan-Mu, kasihanilah daku.

Ya Allah, Ya Tuhanku! Terimalah taubatku, bersihkanlah segala dosaku dan kabulkanlah permohonanku. Sesungguhnya Dikau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang!”

Usai berdoa, tunggulah sebentar, duduklah dan ambil masa untuk beristighfar sebanyak-banyaknya. Ingatlah, Allah SWT menyukai orang yang bertaubat dan sentiasa menyucikan dirinya sendiri (rohani dan jasmani).

أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ

“Aku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung, yang tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus dan aku bertaubat kepada-Nya.”

Ulanglah sebanyak yang boleh, 100 kali atau sebanyak mana. Ulanglah beristighfar dan alamilah perasaan tenang dan mendamaikan di hati.

Lapangkanlah fikiranmu dan biarlah lafaz itu mengubati hatimu, bagaikan balsam pengubat sekeping hati yang berkecamuk dengan permasalahan duniawi.

Nikmati edaran udara dinihari dengan tenteram. Ambil nafas yang panjang dan ukirlah senyuman di wajah. Usah bebankan otak dengan memikir dan memikir.

Bukanlah masalah itu dapat diselesaikan dengan berfikir tetapi Allah SWT berfirman, mohonlah pertolongan dengan cara bersabar dan bersolat.

Rujukan;
http://www.seluaslautan.com/2012/05/waktu-terbaik-mengerjakan-solat-taubat.html
Nasihat Buat Hati (Habib Ali Zaenal Abidin)

(Sumber: Tazkirah.net oleh Saodah Lasim)

Komen


Berita Berkaitan