Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Perang Saraf: Pembangkang cuba lagakan pemimpin BN?

Hamisa (tengah) semasa mempengerusikan Majlis Diskusi PRU 14 Bersama Pemimpin Masyarakat dan Akar Umbi BN Dun Tanjong Batu ‘Perang Mesti Menang’ di sini kelmarin.

TAWAU:Parti pembangkang disyaki cuba menjalankan perang saraf dengan melaga-lagakan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) sesama sendiri, namun taktik itu disifatkan tidak akan berjaya.

Datuk Hamisa Samat optimis pemimpin-pemimpin BN tidak akan termakan dengan pancingan pembangkang.

“Kadang-kadang dalam perang saraf (menjelang pilihan raya) ini, pembangkang akan buat-buat cerita supaya kita bergaduh sesama sendiri, tetapi itu (bergaduh) tidak akan berlaku,” katanya mengulas spekulasi kononnya Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Jainab Ahmad Ayid berminat bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu.

Hamisa mempengerusikan Majlis Diskusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Bersama Pemimpin Akar Umbi BN DUN Tanjung Batu ‘Perang Mesti Menang’, pada semalam.

Beliau yang juga penyandang kerusi DUN Tanjung Batu, berkata pembangkang sebenarnya tidak kuat dan hanya mengumpulkan orang-orang yang sama sahaja dalam majlis perjumpaan mereka.

“Jika di DUN Tanjung Batu, pembangkang tidak ada isu setempat yang jelas untuk dibangkitkan selain isu-isu nasional, kerana di sini tidak ada isu, kalau ada, sudah dijawab,” katanya.

Menurutnya, sekalipun begitu BN DUN Tanjung Batu akan sentiasa mendengar luahan hati rakyat untuk membolehkan tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat dapat terus dilaksanakan.

Sebelum ini, Jainab yang juga penyandang kerusi DUN Karambunai sudah menafikan khabar angin yang mengatakan kononnya beliau hendak bertanding di DUN Tanjung Batu./SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan