Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

PERANG BAHAS ANTARA DUA BEKAS RAKAN BN GAMATKAN SIDANG DUN

Hajiji dan Madius. Gambar Fail SNT

KOTA KINABALU: Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah digamatkan dengan perang `bahas’ di antara Timbalan Ketua Menteri, Datuk Madius Tangau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Hajiji Noor.

Hajiji yang bangkit mengemukakan soalan tambahan kepada Madius mengenai peluang pekerjaan di Sabah secara tiba-tiba membuat kenyataan luar daripada soalan dengan membangkitkan isu politik dan provokasi berkaitan `lari’ ke pihak sebelah.

“Jangan kita berpolitik sampai bila-bila sepanjang masa. Pilihan raya sudah selesai, apa lagi mahu dipolitikkan… kita mahu membantu sebaik mungkin untuk rakyat Sabah.

“Saya tidak lari cuma dalam langkah ini UMNO pun boleh balik Semenanjung,” jelas Madius semasa melontarkan gurauan balas kepada Hajiji.

Ini menyebabkan Hajiji naik berang lalu membangkitkan isu bahawa kemenangan Madius di Tuaran adalah atas bantuan UMNO.

Timbalan Speaker Datuk Ahmad Abdul Rahman meminta Hajiji untuk berhenti daripada membangkitkan hal politik namun ADUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan mencelah menuduh Timbalan Speaker sebagai berat sebelah.

“Saya bukan berat sebelah. Kalau saya berat sebelah kamu akan tahu,” jawab Ahmad.

Kemudian, Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Negeri turut menempelak tindakan Hajiji kerana menuduh kerajaan negeri hari ini membuat janji untuk mewujudkan sebanyak 600,000 peluang pekerjaan di Sabah pada 2023.

Semasa menjawab soalan tambahan daripada Hajiji itu, Madius menjelaskan angka tersebut dibuat berdasarkan unjuran bagi Sabah dan beberapa kajian oleh agensi seperti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Angka 600,000 bukan janji, ia adalah sasaran mengikut unjuran Sabah selama ini… apakah salah kita membuat unjuran, kita membuat kajian dan pertumbuhan pekerjaan yang dihasilkan oleh PKS ialah di antara 5.5 hingga 5.7 peratus.

“Ini bukan janji baharu. Kami mengatakan bahawa dengan pertumbuhan PKS itu dalam setahun kita boleh wujudkan 25,000 hingga 26,000 pekerjaan.

“Oleh itu, jangan menuduh kita berjanji kerana ini adalah Petunjuk Prestasi Utama (KPI), apakah salah untuk membuat KPI kerana kita boleh mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan terpilih seperti SIRIM, SME Copr, Matrade, Mardi dan Mara untuk membantu meningkatkan perniagaan usahawan PKS di negeri ini,” ujarnya. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan