Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,797

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Perancis Mungkin Akan Tutup 160 Buah Masjid

6:35pm 05/12/2015 Pak Roshan 760 views Global

MINOLTA DIGITAL CAMERA

PARIS – Kerajaan Perancis mungkin menutup sehingga 160 buah masjid dalam masa beberapa bulan ini, sebagai sebahagian daripada operasi polis di negara yang diletakkan dalam keadaan darurat itu.

Menurut laporan media tempatan pada Sabtu, di bawah keadaan darurat, pihak berkuasa Perancis dibenarkan untuk bertindak tegas menutup tempat-tempat ibadah yang menggalakkan fahaman radikal.

Seorang ketua imam di Perancis, Hassan El Alaoui memberitahu stesen Al Jazeera, beliau menerajui usaha mencalonkan imam-imam di negara itu serta mengadakan rundingan antara imam dan pegawai penjara.

Sebanyak tiga buah masjid di negara itu sudah pun ditutup sejak siri serangan berdarah di Paris pada 13 November lalu – dan menurut Hassan, lebih banyak lagi masjid lain yang akan ditutup.

“Menurut perangkaan rasmi serta perbincangan kami dengan kementerian dalam negeri, antara 100 hingga 160 masjid akan ditutup kerana dikendali tanpa lesen dan menggalakkan kebencian,” katanya kepada Al Jazeera.

Pihak masjid terlibat dengan penutupan itu turut dikesan gemar menggunakan cara percakapan takfiri iaitu perbuatan menyifatkan seseorang dengan kekafiran, atau menuduhnya dengan hukum kafir.

“Percakapan seperti ini tidak harus dibenarkan di negara-negara Islam, apatah lagi negara maju seperti Perancis,” kata Hassan, yang menjadi Muslim pertama dilantik ketua imam bagi jabatan penjara pada 2005.

Beliau yang dipetik Al Jazeera sebagai berkata, penutupan beberapa buah masjid baru-baru ini, turut dilakukan di bawah “tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa Perancis”.

Hassan menambah, ia pastinya bakal berlaku oleh kerana “beberapa perkara jelas menyalahi undang-undang negara” yang didapati daripada masjid-masjid tersebut.

Imam berkenaan turut memberi contoh, suspek-suspek serangan bom nekad dan tembakan di Paris bulan lalu itu, yang membunuh 130 orang awam, tidak wajar digelar “pengganas.”

“Mereka hanyalah sekumpulan perompak dan penjual dadah memakai pakaian keagamaan. Isu ini sebenarnya bukan tentang orang Islam, tetapi tentang pengganas. Ia isu keselamatan untuk semua orang,” katanya.

Hassan berkata, terdapat sejumlah 2,600 masjid di Perancis dengan Grande Mosquee de Paris antara masjid tertua di Perancis yang dirasmikan sendiri oleh Presiden Gaston Doumergue pada 1926.

Dianggarkan lebih 6 juta umat Islam menetap di Perancis menjadikan komuniti Muslim paling ramai di benua Eropah, bahkan kira-kira 200 buah masjid baharu sedang dalam proses pembinaan.

Felix Marquardt, seorang Muslim yang tinggal di Paris dan pengasas bersama Yayasan al-Kawakibi, juga berkata, beliau menjangkakan lebih banyak masjid lain akan ditutup tidak berapa lama lagi.

“Tidak mengejutkan bagi saya, hakikatnya, ada masjid yang memang patut ditutup di Perancis,” ujarnya kepada Al Jazeera, malah beliau sendiri terkejut dengan apa yang didengarnya di beberapa masjid yang dikunjunginya.

“Saya bercakap tentang isu mempolitikkan Islam. Saya pernah dengar ada pihak di masjid yang dakwa pemerintah yang mewujudkan Islamofobia, dan orang bukan Islam di Perancis tidak suka dengan Muslim,” katanya.

– Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan