Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Peranan pangkalan TUDM Labuan penting: Hishammuddin

IMG_20150124_011319

LABUAN – Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini akan memainkan peranan lebih penting dalam mempertahan keselamatan negara melalui penempatan Skuadron Hawk.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Labuan dipilih menjadi tuan rumah skuadron itu kerana kedudukannya yang strategik di pesisir pantai Borneo.
“Dengan pemindahan Skuadron Hawk ke Labuan, pangkalan udara ini akan naik tarafnya,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri taklimat tentang penempatan skuadron itu di sini pada Jumaat.
Pemindahan skuadron itu dari pangkalan TUDM Butterworth ke Labuan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2015 Oktober lepas.
Ia sebahagian daripada langkah untuk meningkatkan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSzone).
Hishammuddin berkata kehadiran skuadron itu akan menanam keyakinan orang ramai terhadap komitmen dan janji kerajaan untuk menjamin keselamatan Sabah.
Kata Hishammuddin penempatan pesawat pejuang itu di Labuan merupakan langkah strategik bagi memantau pantai timur Sabah dan Laut China Selatan.
Tiga pesawat pejuang Hawk kini ditempatkan di Labuan, manakala dua lagi pesawat jenis sama akan tiba April ini.
Pesawat pejuang itu digunakan untuk membuat rondaan di ruang udara Sabah, Semarang Observer Group Layang-Layang Island dan Sarawak.
Hishammuddin berkata pesawat Sukhoi SU-30MKM dan Boeing F/A-18 Hornet juga akan ditugaskan secara sekali sekala di pangkalan TUDM Labuan.
“Pencerobohan di Lahad Datu memberi banyak pengajaran kepada kami. Kami tidak mahu ia berulang, oleh itu kesiapsiagaan adalah perlu. Untuk memelihara kestabilan dan keselamatan di wilayah ini, kami perlu mengggunakan pendekatan holistik dalam pelan ketenteraan dan pertahanan kami,” katanya.
Hishammuddin berkata pangkalan di luar pesisir juga akan dibina April ini sebagai sebahagian daripada usaha pertahanan dan keselamatan kementerian itu, dengan dibantu bot peronda.
“Saya juga telah mengarahkan TUDM bersiap sedia untuk menerima kedatangan Blackhawks dari Kerajaan Brunei, yang dijadualkan mendarat di sini pada September. Ini adalah hasil hubungan dua hala kami dari aspek keselamatan,” katanya.
Mengenai kerja menaik taraf lapangan terbang pangkalan tentera udara, beliau berkata langkah itu akan menyaksikan pembinaan kemudahan lapangan udara, 6 Skuadron, tempat berlindung daripada ribut, stor misil, pagar dan tempat tinggal anggota.

Komen


Berita Berkaitan