Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Perak benam Sabah 5-0 di Ipoh

Penyerang Sabah, Hector Ramos (tengah) dikawal oleh pemain Perak ketika aksi perlawanan Unifi Piala Malaysia 2018 di Stadium Perak, malam tadi. Gambar SNT/Ehsan Jaiman Taip

IPOH: Sabah tewas 0-5 kepada Perak dalam saingan separuh akhir pusingan pertama Piala Malaysia 2018 di Stadium Perak malam tadi.

Misi setinggi gunung menanti anak buah Jelius Ating dalam perlawanan pusingan kedua di Stadium Likas minggu depan bukan sahaja untuk menjaringkan 6 gol tetapi juga menghalang Perak daripada membolosi gawang mereka.

Dalam perlawanan malam tadi ternyata benteng pertahanan Sabah begitu rapuh membolehkan Perak menjaring dua gol pada babak pertama dan tiga lagi dalam babak kedua.

Perlawanan bermula dengan kedua-dua pasukan berhati-hati tetapi Perak kelihatan lebih garang dengan pemain tengah, Nor Hakim Hassan mencipta peluang pada minit-minit awal.

Nor Hakim yang langsung tidak dikawal pertahanan Sabah berjaya menjaringkan gol pertama Perak pada minit ke-16 melalui rembatan kencang dari atas kotak penalti ke sebelah kiri penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim.

Skuad Badak melalui gandingan Hector Ramos dan Rodoliub Paunovic cuba mencari gol penyamaan namun hantaran kurang baik dan kekebalan benteng pertahanan Perak menggagalkan usaha mereka.

Pada minit ke-24, Perak hampir menggandakan gol namun Sabah bernasib baik apabila pemain impot Perak dari Brazil Leandro Dos Dantos Oliveira mendapat peluang terbuka namun tendangannya sipi ke sebelah kanan gol Sabah.

Kelonggaran pertahanan Sabah dieksploitasikan oleh Perak melalui gerakan cantik Nor Hakim dan seorang lagi pemain impot Perak dari Brazil, Wander Luis dalam minit ke-42 untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada separuh masa pertama.

Dalam babak kedua, Sabah cuba menyerang untuk mendapatkan gol pertama dan dalam minit ke-64, Ramos hampir menjaringkan gol melalui tendangan percuma.

Tendangan percuma Ramos dari jarak 20 meter terkena kepala pertahanan Perak dan penjaga gol mereka, Muhammad Hafizul Hakim terpaksa menepis untuk mengeluarkan bola.

Sabah amat tersentak apabila Perak berjaya menjaringkan dua gol dalam masa tidak sampai 5 minit.

Gol ketiga Perak dijaringkan oleh pemain impot, Gilmar Da Silva pada minit ke-72 melalui “turning kick” selepas mendapat hantaran daripada Nor Hakim.

Tiga minit kemudian, sekali lagi Nor Hakim ternyata pemain terbaik perlawanan malam tadi memecut dari sebelah kiri dan membuat hantaran lintang tepat kepada Muhammad Firdaus Sayadi untuk membuat tandukan ke penjuru kiri Rozaimie untuk menjadikan kedudukan 4-0.

Derita Sabah bertambah apabila Perak dihadiahkan penalti pada minit ke-92 setelah Leopold Alphonso menjatuhkan Nazirul Naim Che Hassan dalam kotak penalti yang disempurnakan oleh Leandro untuk gol kelima mereka.

Perak akan bertandang ke Stadium Likas pada 21 Oktober bagi perlawanan pusingan kedua separuh akhir Piala Malaysia 2018.-SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan