Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

PENYUSUAN SUSU IBU PERLU SOKONGAN

Dr Christina (empat dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian. Gambar SNT/Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Kerajaan telah membuat Inisiatif Hospital Rakan Bayi dan Inisiatif Klinik Rakan Bayi yang merupakan antara strategi untuk menyokong dan melindungi penyusuan susu ibu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi berkata, setakat hari ini kesemua 21 hospital kerajaan yang menawarkan perkhidmatan ibu dan anak telah diiktiraf sebagai Hospital Rakan Bayi dan 94 buah klinik kerajaan seluruh Sabah telah diiktiraf sebagai Klinik Rakan Bayi.

“Bilangan Klinik Rakan Bayi ini akan turut bertambah kerana kita mensasarkan 100 peratus klinik kerajaan mendapat pengiktirafan,” katanya semasa merasmikan sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia peringkat negeri Sabah di Dewan Serbaguna, Kompleks Pentadbiran Persekutuan dekat sini hari ini.

Dr Christina berkata, kadar penyusuan susu ibu di Sabah adalah tinggi tetapi hanya 67.4 peratus bayi yang mendapat susu ibu secara eksklusif sehingga umur 6 bulan disebabkan kurang sokongan termasuk kekangan polisi tempat kerja.

“Tambahan pula, strategi pemasaran susu gantian yang agresif dan tidak beretika menggoyahkan pilihan ibu-ibu yang tidak mendapat informasi secukupnya,” katanya.

Beliau juga berkata, peranan Ahli Kumpulan Sokongan Susu Ibu (AKSSI) amat penting untuk memberi pendidikan penyusuan ibu secukupnya kepada kumpulan sasar.

Menurut beliau, tema sambutan pada tahun ini adalah “Penyusuan Susu Ibu: Asas Kehidupan” dan berharap selepas majlis ini para AKSSI akan kembali ke daerah masing-masing dengan lebih bersemangat membantu mencapai objektif sambutan ini.

Antara objektif sambutan tahun ini:

  • Memaklumkan masyarakat bagaimana penyusuan susu ibu dikaitkan dengan pemakanan, kebolehdapatan makanan dan pengurangan kadar kemiskinan;
  • Menetapkan matlamat penyusuan susu ibu dalam agenda pemakanan, kebolehdapatan makanan dan pengurangan kadar kemiskinan;
  • Melibatkan individu/organisasi yang berkaitan langsung dalam isu penyusuan susu ibu;
  • Menggesa tindakan untuk mengetengahkan penyusuan susu ibu sebagai sebahagian daripada strategi pemakanan, kebolehdapatan makanan dan pengurangan kadar kemiskinan

Menurutnya, seribu hari pertama dalam kehidupan adalah kritikal kerana ia adalah asas kepada pertumbuhan dan perkembangan seorang bayi.

Penyusuan susu ibu membolehkan bayi mendapat makanan yang berkhasiat dan selamat, katanya.-SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan