Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Penyeragaman SOP di pusat pemindahan banjir mudahkan penyaluran bantuan: Rohani

rohani

KOTA KINABALU – Penyeragaman prosedur operasi standard (SOP) di pusat pemindahan banjir seluruh negara amat penting bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada mangsa banjir.

Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, sehubungan itu kementeriannya akan meneliti kemungkinan untuk menyeragamkan SOP di setiap negeri agar bantuan dan pengurusan di pusat pemindahan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Pada masa banjir, kami (Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dipertanggungjawabkan untuk mengurus mangsa yang berada di pusat-pusat pemindahan.

“Oleh itu kita akan melihat kesesuaian untuk menyeragamkan SOP termasuk membuat penambahbaikan sistem pengurusan krisis banjir di pusat pemindahan bagi memastikan tempat tersebut kekal releven dalam menghadapi bencana banjir pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini. Turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad.

Rohani berkata, pengurusan bencana alam yang lebih teratur iaitu sebelum, ketika dan selepas banjir amat penting untuk memastikan operasi penyaluran bantuan kepada mangsa dapat dijalankan dengan lebih teratur.

“Bencana banjir adalah kejadian luar jangka… kita tidak tahu bila ia berlaku tetapi dengan adanya persediaan lebih awal dan SOP yang jelas, kita tidak panik, sebaliknya dapat melaksanakan tanggungjawab kita dengan baik. Semasa kejadian banjir baru-baru ini, kita telah mendapat banyak maklum balas daripada orang ramai. Oleh itu kita akan berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan,”  katanya.

Beliau berkata, bagi memberikan keselesaan kepada golongan wanita dan kaum ibu, pusat pemindahan bencana alam akan disediakan tempat khas untuk mereka menyusukan anak atau menyalin pakaian pada masa akan datang.

“Kita juga akan menempatkan kaunselor di semua pusat pemindahan banjir bagi merangka pelbagai program yang sesuai sebagai pengisian masa lapang mangsa di pusat itu. Program seumpama itu penting agar mereka tidak berasa bosan dan untuk mengurangkan tekanan emosi mangsa banjir di pusat pemindahan itu,” ujarnya. – oleh Monica Gidong / SayangSabah

 

Komen


Berita Berkaitan