Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,432

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Penyelewengan RM107 Juta Tak Jejas Penganjuran Sukan SEA 2017

2:52pm 21/03/2016 Pak Roshan 131 views Isu Semasa,Mutakhir
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menberikan sidang media mengesahkan bahawa individu yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung isu penyelewengan, merupakan pegawai Kementerian Belia dan Sukan, hari ini. - Foto BERNAMA

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menberikan sidang media mengesahkan bahawa individu yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung isu penyelewengan, merupakan pegawai Kementerian Belia dan Sukan, hari ini. – Foto BERNAMA

PUTRAJAYA – Penyelewengan dana kerajaan bernilai RM107 juta dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak menjejaskan penganjuran Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dan beberapa projek pembangunan sukan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, penyelewengan tersebut tidak membabitkan kos menaik taraf Kompleks Sukan Bukit Jalil bernilai RM1.1 bilion bagi penganjuran Sukan SEA 2017.

“Saya berpendapat ia tidak akan memberi kesan kepada Sukan SEA kerana ini secara khusus berkaitan kelulusan tertentu yang diberi kepada satu daripada agensi.

“Kerja naik taraf Kompleks Sukan Bukit Jalil itu dibuat secara tender terbuka melalui Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Proses perolehan Kompleks Bukit Jalil itu tidak dibuat di peringkat KBS,” katanya pada sidang media berhubung isu penyelewengan itu di sini hari ini.

SPRM Jumaat lepas menahan seorang setiausaha bahagian di kementerian itu selepas disyaki terlibat mendalangi satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM107 juta.

Selain pegawai kanan KBS yang berusia 56 tahun itu, SPRM turut menahan tujuh lelaki dan seorang wanita yang kesemuanya merupakan kontraktor syarikat penganjuran acara.

Ditanya sama ada KBS akan mengkaji semula projek dan program di bawah kementerian ekoran kes berkenaan, Khairy berkata kes penyelewengan itu hanya khusus kepada bentuk peruntukan yang tidak melibatkan projek pembangunan setakat ini.

“Projek dan program pembangunan yang tidak melibatkan kelulusan peruntukan yang digunakan dalam kes ini, akan terus berjalan seperti biasa, tetapi kalau pasukan bebas perlu melihat kepada semua prosedur kelulusan KBS, kami sedia untuk bekerjasama dengan pasukan itu,” katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda