Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,776

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Penyelesaian isu tanah NCR akan terus diberi perhatian

6:36pm 14/04/2016 Leolerry Lajius 221 views Tempatan
Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin tiba di DUN sempena pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-14.-Gambar Oleh JKM

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin tiba di DUN sempena pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-14.-Gambar Oleh JKM

KOTA KINABALU: Dalam usaha untuk memperkasakan lagi kecekapan tadbir urus tanah di negeri ini, Kerajaan Negeri telah menetapkan sasaran untuk menyelesaikan pengukuran Hak Tanah Adat Anak Negeri (NCR) seluas 13, 000 hektar khas di daerah-daerah Kota Marudu, Keningau, Kudat, Semporna, Tuaran dan Nabawan pada tahun ini.

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkata, langkah tersebut merupakan usaha berterusan kerajaan dalam meningkatkan dan menambah baik pentadbiran tanah di negeri ini terutama dalam mengurangkan isu-isu tanah yang berkaitan tuntutan NCR.

Menurut beliau lagi, pengukuhan aspek keselamatan terutamanya di Wilayah ESSCOM turut diambil perhatian dengan memberikan kelulusan kepada beberapa projek seperti Pembinaan Pos Pulau Sipadan dan Semporna, Pembinaan Kompleks Perumahan dan Bangunan Pentadbiran Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Beluran, Pembangunan Kem Tentera Darat ESSCOM di Felda Sahabat, Lahad Datu serta peningkatan keupayaan Radar di kawasan ESSCOM.

“Saya menyambut baik usaha-usaha kerajaan dalam memperkukuh kawalan keselamatan dan ketenteraman awam khususnya menangani ancaman pengganas dan membendung penularan fahaman ekstrem serta kegiatan militan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan sempena pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-14 di Dewan Bankuasi, Dewan Undangan Negeri Sabah, Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Menurut Juhar, program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan juga telah berjaya menurunkan kadar kemiskinan di negeri ini iaitu berdasarkan data terkini pada tahun 2014 iaitu 4.0% berbanding 8.1% pada tahun 2012.

Kerajaan Negeri juga akan terus mensasarkan pasaran-pasaran baru, merancang dan mengatur strategi-strategi pemasaran untuk menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke negeri ini.

“Tahun 2015 merupakan tahun yang amat mencabar bagi industri pelancongan di negeri ini namun saya yakin pada tahun ini sektor pelancongan akan bertambah kukuh.”

“Ini dapat kita lihat melalui pertambahan jumlah ketibaan pelancong dalam bulan Januari tahun ini iaitu seramai 253, 887 orang iaitu pertambahan sebanyak 4.3% berbanding dengan jumlah ketibaan pelancong seramai 243, 398 orang pada bulan yang sama tahun lalu,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga akan memperhebatkan usaha untuk menarik pelaburan dalam sektor perindustrian khususnya dalam industri minyak dan gas.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengambil perhatian untuk terus membangunkan sektor perindustrian dan ini terbukti melalui sumbangan sektor ini dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015) dengan mencatatkan nilai pelaburan yang telah diluluskan berjumlah RM12.7 bilion dan mewujudkan sebanyak 7, 974 peluang pekerjaan,” katanya.-Oleh Leolerry Lajius/Sayang Sabah

Suasana ketika Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sabah yang ke-14 di perkarangan DUN.-Gambar Oleh Penerangan

Suasana ketika Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sabah yang ke-14 di perkarangan DUN.-Gambar Oleh Penerangan

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan