Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,654

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Penyelamat dari udara

11:32am 11/07/2016 Pak Roshan 3 views Global
HELIKOPTER milik PMI yang digunakan bagi memberi bantuan kepada pengguna jalan raya.

HELIKOPTER milik PMI yang digunakan bagi memberi bantuan kepada pengguna jalan raya.

Jakarta: Agensi Palang Merah Indonesia (PMI) menyediakan sebuah helikopter ambulans untuk memberi bantuan kecemasan kepada pengguna jalan raya yang terperangkap dalam kesesakan teruk di negara itu.

Selain memberi bantuan kecemasan dengan segera, helikopter itu juga membawa bekalan makanan dan minuman untuk pengguna jalan raya.

Jurucakap PMI, Soemarsono berkata, fungsi helikopter itu adalah menghantar bantuan kecemasan dan memindahkan mangsa di lokasi yang sukar dijangkau ambulans akibat kesesakan jalan raya.

“Selain itu, helikopter ini juga membawa bekalan makanan dan minuman untuk dijatuhkan kepada pengguna jalan raya yang memerlukan,” katanya.

Menurutnya, helikopter itu membawa seorang doktor dan dilengkapi peralatan perubatan seperti tangki oksigen serta ubat-ubatan.

“Kami juga membawa bekalan makanan seperti air, roti dan biskut untuk dijatuhkan kepada pengguna jalan raya yang terperangkap selama berjam-jam.

“Kami bekerjasama dengan polis dan hospital di sepanjang laluan utama bagi memudahkan pemindahan pesakit dari udara,” jelasnya.

Setiap kali musim perayaan terutama sambutan Aidilfitri, jutaan penduduk Indonesia kembali ke kampung halaman masing-masing menyebabkan kesesakan teruk di jalan dan lebuh raya utama negara itu.

Beberapa hari sebelum hari raya pada minggu lalu, seramai 12 pengguna dilaporkan maut akibat terlalu lama terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Kebanyakan mangsa dilaporkan lambat menerima rawatan atau dibawa ke hospital akibat ambulans juga terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Kesesakan jalan raya kembali berlaku pada minggu ini apabila jutaan penduduk pulang semula ke bandar selepas cuti berakhir. – Agensi/HMetro

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan