Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Penyamun MR DIY tumpas

SEORANG suspek pecah masuk premis MR DIY di Taman Seri Balung, Tawau yang ditahan polis – Foto ihsan PDRM.

 

TAWAU: Polis menahan tiga lelaki disyaki terbabit dalam kes pecah masuk premis MR DIY, selain melarikan peti besi berisi wang tunai RM11,000 di Taman Sri Balung, dekat sini, Khamis lalu.

Ketiga-tiga suspek tempatan berusia 20 hingga 28 tahun itu ditahan di tiga tempat berasingan semalam, susulan maklumat orang awam serta risikan dijalankan Unit Jenayah Berat (D9) Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Kejadian pecah masuk itu disedari pembantu penyelia premis terbabit pada jam 8.30 pagi Khamis lalu berikutan kesan pintu belakang kedai diumpil, selain peti besi serta pelbagai barangan perkasasan yang dijual didapati hilang.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata susulan laporan diterima pada hari sama, polis menjalankan siasatan sebelum menyerbu sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Balung dan menahan seorang suspek berumur 24 tahun kerana disyaki terbabit dalam kes berkenaan, jam 3.30 pagi semalam.

Susulan penahanan itu, katanya, polis menemui semula beberapa barang curi yang dibuang oleh suspek di tepi jalan di Kilometer 28, Jalan Apas.

“Dua lagi suspek berumur 20 dan 28 tahun kemudian dikesan pada hari sama masing-masing di PPR Taman Sri Balung dan Taman Sawit, sebelum menemui semula barang dipercayai dicuri di sebuah rumah di Kampung Mangga Nasip Kita.

“Selain pelbagai jenis barang perkakasan dan peralatan pertukangan, polis merampas sebuah peti besi yang telah ditebuk serta wang tunai berjumlah RM8,175 sekali gus berjaya menyelesaikan kes pecah masuk premis berkenaan,” katanya kepada media di sini, pagi ini.

Fadil berkata, berdasarkan soal siasat, kesemua suspek yang berasal dari daerah ini mengaku terbabit dalam kes berkenaan dan semakan mendapati seorang suspek pernah ditahan berkaitan kes dadah.

“Semua suspek kini ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan