Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

PENUNTUT IPTA DISARAN MENABUR ILMU KEPADA MASYARAKAT: KETUA MENTERI

Dr. Yusof (tengah) dan Prof. D Kamarudin bersama penuntut sesi baharu UMS dalam Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Siswa-siswi Baharu Sempena Minggu Suai Mesra di Dewan Canselor UMS. – Gambar SNT / Ehsan UMS

KOTA KINABALU: Siswa dan siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) dituntut agar menggunakan segala ilmu yang diperoleh dimenara gading untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, mereka adalah bakal pemimpin masa hadapan dan untuk itu mereka harus sentiasa terampil bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga dalam kegiatan universiti dan aktiviti kemasyarakatan.

“Kita tidak mahu melahirkan mahasiswa yang jumud, tiada gunanya jika kita berilmu dan berpendidikan tinggi tetapi tidak menyumbang kepada masyarakat, tidak inovatif, malah tidak berbudi bahasa.

“Saya menyarankan sebegini kerana tanggungjawab saudara-saudari sekalian sebenarnya bukan hanya kepada diri sendiri dan keluarga, tetapi juga kepada UMS khasnya dan negara amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri, Datuk Dr. Yusof Yacob dalam Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Siswa-siswi Baharu Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2018/2019 di Dewan Canselor UMS, hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D. Kamarudin D. Mudin, ahli-ahli lembaga pengarah UMS, serta pegawai-pegawai utama dan kanan UMS.

Prof. D Kamarudin (tengah) menyerahkan cenderahati kepada Dr. Yusof yang mewakili Mohd Shafie dalam Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Siswa-siswi Baharu Sempena Minggu Suai Mesra di Dewan Canselor UMS. – Gambar SNT /Ehsan UMS

Beliau menambah, kerajaan negeri akan terus komited dan sentiasa memberikan kerjasama dalam membantu segala usaha ke arah kemajuan dan peningkatan tahap pendidikan tinggi negara.

“Sebagaimana yang kita lihat pada hari ini, sejak kewujudan UMS di Sabah, pembangunan dan kemajuan negeri ini bergerak seiring demi menampung keperluan-keperluan ekonomi dan sosial pelajar.

“Implikasi positifnya juga telah memberi nilai tambah, peningkatan taraf hidup dan ekonomi masyarakat sekitarnya. UMS kini telah menjana transformasi pembangunan yang sangat pesat dalam tempoh yang sangat pantas di negeri Sabah,” ujar beliau.

Pada majlis itu, Dr. Yusof turut menyaksikan bacaan ikrar siswa-siswi baharu yang diketuai pelajar Program Kejuruteraan Rangkaian, Fakulti Komputeran dan Informatik UMS, Mohd Ozaniezie Onasis. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan