Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Penugasan Anggota Rela Tingkatkan Ketenteraman Awam Di Timur Sabah

SANDAKAN, 15 Dis – Penugasan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) akan meningkatkan lagi ketenteraman awam di kawasan timur negeri ini.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Hazani Ghazali berkata selain menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan Rela juga dapat membantu Esscom dalam memastikan ketenteraman awam dan komuniti khususnya.

“Rela tidak akan terlibat sama dalam operasi menyeluruh pasukan keselamatan, sebaliknya mereka akan memfokuskan kesejahteraan komuniti dan ketenteraman awam sahaja.

Selain perairan, pulau dan sempadan, kesejahteraan akan lebih terjamin dengan penglibatan Rela dengan sama-sama membantu menjaga ketenteraman awam, ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Eksesais Pasak 3 Esscom 2017 di Lapangan Terbang Sandakan di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Komander Esscom Datuk Badrulhisham Muhammad, Panglima Bridged Esscom Hamdan Ismail, Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin dan Pengurus Besar Malaysia Airports Holdings Berhad Mohamad Suhaimi Abdul Mubin.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika lawatan kerja di Batalion 17 Pasukan Gerakan Am Lahad Datu berkata penugasan 500 anggota Rela membantu pemantauan keselamatan di Esszone akan bermula Januari tahun depan.

Dalam pada itu, Hazani berkata secara keseluruhannya objektif program Pasak 3 yang disertai seramai 134 pegawai dan anggota melibatkan 15 agensi antaranya Polis, Rela, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Malaysia Airports Holdings Berhad telah mencapai objektif dan tujuannya.

Katanya eksesais ini bertujuan untuk menyelaraskan semua agensi dalam menangani keganasan dan bencana berpandukan prosedur Majlis Keselamatam Negara.

Beliau berkata Esscom akan sentiasa komited untuk meneruskan eksesais ini pada masa akan datang untuk membolehkan kerjasama antara agensi diteruskan dan prosedur tetap agensi akan sentiasa dikemas kini dan relevan sepanjang masa.

Hazani berkata kejadian lepas seperti lapangan terbang diserang dan kapal terbang ditawan oleh pengganas meyakinkan pasukan keselamatan mengambil risiko dan memberanikan diri dalam menangani ancaman itu.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan