Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,758

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Penubuhan parti baharu untuk rebut jawatan KM

9:34am 27/09/2016 Pak Roshan 3309 views Mutakhir,Politik

jamawi

KENINGAU: Rakyat diingatkan bahawa penubuhan parti baharu oleh Datuk Seri Shafie Apdal bukan bertujuan menjaga kebajikan pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini akan tetapi ingin merebut jawatan ketua menteri.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Jamawi Jaffar berkata, pendekatan beliau (Shafie) untuk menarik hati rakyat melalui slogan ‘Sabah for Sabahan’ bersama ahli parti dari pihak pembangkang adalah tidak relevan kerana isu-isu yang dibangkitkan lebih kepada sifat keperibadian tentang hasratnya yang tidak dicapainya semasa berada di pihak kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkara itu pada Majlis Santai Petang Bersama JJ sempena mesyuarat dwi tahunan Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) ke-37 pada Sabtu.

Katanya, tindakan Shafie ternyata salah kerana cuba menghasut hati dan pemikiran rakyat agar membenci kepimpinan kerajaan ketika ini sedangkan banyak nasib dan kebajikan rakyat telah dibela manakala pembangunan kian pesat dibangunkan di seluruh negara.

Kata Jamawi, perjuangan itu tidak akan mampu bertapak di Sabah mahupun menggugat perjuangan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman kerana rakyat percaya hanya BN sahaja boleh membawa kepada kemakmuran dan kesejahteraan.

Pada masa sama, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO  Tenom turut mengingatkan rakyat dan ahli parti UMNO serta ahli parti komponen BN agar bersatu padu bagi memastikan kemenangan besar pilihan raya umum akan datang.

“Pergerakan Pemuda UMNO negeri mahupun Pusat sentiasa mendekati rakyat melalui pelbagai program turun padang bagi memberi penerangan yang jelas kepada rakyat berkaitan dasar-dasar kerajaan dan perjuangan parti politik yang berpaksikan kepada kebajikan dan keperluan rakyat,” katanya.

Terdahulu, berucap pada majlis itu Jamawi berkata, KGKS merupakan medium terbaik bagi warga pendidik menyampaikan sebarang isu berkaitan pendidikan di negeri ini.

Ia kerana katanya, KGKS adalah badan bukan kerajaan berdaftar yang boleh membantu menyelesaikan sebarang permasalahan warga pendidik yang lebih sistematik untuk dikemukakan kepada pihak berwajib.

“Peranan KGKS ditubuhkan sejak 50 tahun yang lalu bukan sahaja mendengar permasalahan dan menyelesaikan masalah yang dihadapi warga pendidik akan tetapi turut menjaga kebajikan mereka sekiranya ditimpa sebarang musibah yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Selain itu tambahnya, penggunaan media sosial yang amat popular ketika ini sebagai tempat meluahkan sebarang masalah berkaitan kerja dihadapi oleh warga pendidik adalah tindakan tidak tepat kerana boleh menjejaskan imej profesion keguruan di negara ini.

Beliau juga berharap pada pembentangan bajet akan datang kerajaan akan lebih mengutamakan prasarana pendidikan di negara ini kerana banyak kemudahan berkaitan, khususnya sekolah di luar bandar, masih belum mencukupi. –  Borneo Post Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan