Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Penstrukturan Semula Esscom Wujudkan Koordinasi Lebih Baik Antara Agensi Keselamatan

rdahlan

KUCHING: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata penstrukturan semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mewujudkan koordinasi yang lebih baik antara agensi-agensi keselamatan untuk menangani sebarang kejadian tidak diingini di kawasan itu.

Sambil menyambut baik usaha itu, beliau berkata rakyat negeri ini menghargai apa yang dilakukan kerajaan.

“Isu keselamatan di Esscom nampaknya diberi perhatian besar kerajaan kerana sebarang insiden yang berlaku di Esscom bukan sahaja memberi kesan kepada kawasan berkenaan, malahan kesan turut dirasai di seluruh negeri apabila bilangan pelancong yang datang turut merosot,” katanya.

Abdul Rahman yang juga anggota Parlimen Kota Belud berkata demikian dalam sidang media ketika menghadiri Majlis Jalinan Mesra dan Berbuka Puasa di Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya, Jalan Sultan Tengah hari ini.

Turut hadir Timbalan Menterinya, Datuk Halimah Mohd Sadique, Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Seri Arpah Abdul Razak, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim dan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Mohamad.

Mengulas mengenai pelantikan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Esscom, Datuk Abd Rashid Harun sebagai Komander Esscom, Abdul Rahman berkata pelantikan individu dari agensi keselamatan sememangnya amat dialu-alukan.

“Insiden yang berlaku di Esscom sejak akhir-akhir ini memerlukan penglibatan polis dan tentera dengan lebih efektif dan oleh itu, saya mengalu-alukan pelantikan Datuk Abd Rashid daripada pihak polis ini,” katanya.

Ketika diminta mengulas sama ada penstrukturan semula Esscom memberi petanda kegagalan terhadap perancangan terdahulu, beliau berkata apa yang berlaku di Esscom tidak pernah berlaku sebelum ini, justeru sebarang kelemahan yang timbul dalam tempoh berkenaan akan diperbaiki.

Komen


Berita Berkaitan