Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,728

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Penjenayah Rentas Sempadan Pembeli Utama Minyak Seludup Dari Sabah – Esscom

7:15pm 17/09/2016 Pak Roshan 452 views Jenayah,Mutakhir

EssCom1

KUDAT: Penjenayah rentas sempadan yang berada di sekitar kepulauan di selatan Filipina merupakan pembeli utama minyak petrol dan diesel yang diseludup dari Sabah.

Ketika membuat pendedahan itu, Timbalan Ketua Staf Perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) ACP Hashim Justin berkata kumpulan penjenayah berkenaan memperoleh sumber kewangan hasil daripada kegiatan jenayah penculikan dan rompakan yang mereka lakukan di sekitar perairan Filipina, Malaysia dan Indonesia.

Beliau berkata bahan api yang dibeli daripada penyeludup itu dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah culik dan rompakan di perairan Sabah, khususnya di pantai timur negeri.

“Sebab itu, Esscom dengan kerjasama semua agensi keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) seringkali melakukan operasi pencegahan termasuk Op Gasak di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan para penyeludup.

“Ia bertujuan menghapuskan rangkaian ini supaya minyak petrol dan diesel kita tidak sampai ke tangan penjenayah rentas sempadan, sekaligus menyukarkan rancangan mereka melakukan jenayah culik dan rompak di perairan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah keselamatan di Program Memperkasa Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga di Pusat Rukun Tetangga Pekan Kudat, dekat sini, JUmaat malami.

Hashim berkata selain penjenayah, individu yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan manusia ke Sabah juga dikenal pasti sebagai antara kumpulan individu yang mendapat manfaat daripada aktiviti penjualan bahan api itu.

Menurutnya, kegiatan penyeludupan manusia merupakan satu kesalahan jenayah, malah lebih memburukkan keadaan apabila tanpa disedari, penyeludup berkenaan membawa masuk mereka daripada kalangan yang boleh memudaratkan keselamatan seperti pengganas Sulu dan Daesh.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk penduduk di Esszone supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pasukan keselamatan dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penyeludupan dan kegiatan lain yang boleh memudaratkan keselamatan, kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata ini supaya tindakan penguatkuasaan dan pencegahan dapat dilakukan dengan segera dalam usaha membanteras dan menghapuskan jenayah penculikan dan rompakan.

“Laporkan dengan segera sekiranya tuan puan ada melihat kelibat individu tertentu yang selalu melakukan aktiviti penyeludupan di kawasan anda kepada pasukan keselamatan yang berhampiran atau laporkan terus kepada Pusat Operasi (PUSOP) Esscom di talian 089-863181,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan