Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Penjawat Awam Di Sabah Perlu Terus Komited Laksana Tanggungjawab – Musa

Datuk Seri Musa Aman

Datuk Seri Musa Aman

KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menggesa semua penjawat awam di negeri ini agar terus komited menjayakan segala perancangan serta meningkatkan kecekapan semasa melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Beliau berkata perkara itu penting dan perlu diberi penekanan bagi memastikan impak positif dan manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat di negeri ini.

“Apa juga dasar dan program yang dirancang, penjawat awam perlu melaksanakannya dengan penuh komited kerana ia bukan sahaja menggambarkan imej perkhidmatan awam tetapi turut memperlihatkan kewibawaan kerajaan yang memerintah.

“Penjawat awam merupakan golongan yang sangat penting dalam mana-mana kerajaan kerana mereka yang bertanggungjawab melaksanakan dasar kerajaan seterusnya menjayakan segala agenda dan program pembangunan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Musa berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 1,300 ketua-ketua jabatan dan agensi perkhidmatan awam, pada Majlis Perhimpunan Perdana Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan 2016, di sini Isnin.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman dan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Borhan Dolah.

Musa berkata kerajaan negeri akan melaksanakan dua keutamaan bagi mengharungi cabaran kelembapan ekonomi masa ini, iaitu mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan mengikut keutamaan terhadap program yang mendatangkan hasil.

“Keutamaan kedua adalah bagaimana kita boleh menggunakan daya fikiran supaya lebih kreatif dan inovatif bagi meningkatkan produktiviti iaitu bagaimana kita boleh menambah usaha tanpa perlu berkerja keras atau menambah waktu bekerja, sebaliknya mengunakan minda untuk berfikir mencari penyelesaian yang lebih kreatif dan inovatif.

“Dengan mengambil kira hasil negeri yang berkurangan akibat kejatuhan harga minyak dan komoditi utama, sektor awam perlu berfikir di luar kebiasaan serta menjalankan operasi perkhidmatan secara kreatif untuk mencari penyelesaian baharu demi menjimatkan masa dan kos operasi,” tambah beliau.

Sementara itu, Musa meminta agar warga perkhidmatan awam terus berdiri teguh dan setia kepada kerajaan yang memerintah.

“Selain komitmen dan dedikasi yang tinggi, penjawat awam juga perlu terus setia dengan kerajaan. Apa pun pendirian dan keputusan kerajaan berkaitan sesuatu perkara, sudah tentu ia telah mengambil kira banyak faktor terutama berkaitan kepentingan serta masa depan negara.

“Oleh itu penjawat awam perlu patuh kepada keputusan yang diambil kerajaan memerintah dan bersama-sama mempertahankannya,” tegas beliau.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan