Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Penjara 10 tahun sertai kumpulan pengganas

ANGGOTA Polis membawa Nor Azmi Zahyi (depan) dari Selangor bersama dua lagi pengganas dari Indonesia iaitu Ali Misron, 37, dan Faisal, 23, keluar daripada Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini. Hakim P Ravinthran menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara kerana terlibat dengan kegiatan keganasan di Bandar Marawi Filipina tahun lepas.- Foto BERNAMA

 

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun, masing-masing terhadap dua individu warga Indonesia dan seorang warga tempatan kerana cuba menyertai kumpulan pengganas di Bandar Marawi, Filipina, tahun lalu.

Hakim Ravinthran N Paramaguru membacakan hukuman itu selepas tertuduh, Nor Azmi Zahyi, 49, dari Selangor; Ali Misron, 36, dari Acheh, Indonesia dan Faisal, 24, dari Jawa Tengah, mengaku salah terhadap pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130JA Kanun Keseksaan kerana dengan niat untuk ke luar negara bagi tujuan membuat persiapan melakukan keganasan di sebuah negara.

Ravinthran turut memerintahkan Ali Misron menjalani hukuman penjara selama dua tahun lagi kerana memiliki barangan yang ada kaitan dengan kumpulan pengganas Negara Islam (IS) selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Ali Misron diperintah menjalani hukuman itu secara serentak bermula pada tarikh ditangkap.

Hakim Ravinthran turut memerintahkan Faisal menjalani hukuman 10 tahun serentak dengan satu lagi hukuman penjara lima tahun yang sedang dijalaninya di Penjara Pusat Kota Kinabalu.

Penjara lima tahun bermula dari tarikh ditangkap itu dijalani Faisal selepas mengaku salah memiliki tiga bilah pisau ketika ditangkap apabila pertuduhan kes itu dibacakan di Mahkamah Majistret, di sini, pada 21 Mac lalu.

Faisal dan Ali Misron diwakili peguam Farazwin Haxdy yang dilantik oleh pihak Konsulat Indonesia di Kota Kinabalu, manakala Nor Nor Azmi tidak diwakili peguam.

Pada 15 Julai 2017, Nor Azmi dan Faisal ditahan unit anti pengganas Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di hadapan kedai Jashidah Butik Collection, di Jalan 3, Sandakan, jam 12.20 tengah hari.

Ali Misron ditangkap di Lapangan Terbang Sandakan pada jam 6.15 petang pada hari sama. Tertuduh ketika itu memiliki 14 gambar dan empat video dalam telefon bimbitnya yang berkaitan dengan IS.

Ketika prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam, meminta mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya dengan mengambil kira tindakan keganasan bukan perkara baharu memandangkan mereka berniat untuk menyertai pertempuran menentang kerajaan Filipina ketika darurat di Marawi.

“Siasatan mendedahkan ketiga-tiga mereka ada berkomunikasi melalui Facebook Messenger mengunakan Tornado30 (kumpulan bicara) sejak 29 Mei 2017 sehingga mereka ditangkap.

“Dalam kumpulan bicara itu, mereka menggunakan nama akaun seperti ‘Puting Beliung Tornado’ dan ‘Panglima Hitam’ (kedua-dua untuk Nor Azmi), ‘Taher Faisal Faisal’ (Faisal) dan ‘John Raven’ (Ali Misron).

“Mereka merancang untuk ke Pulau Tawi-Tawi melalui jalan laut. Perjalanan adalah dirancang bagi membolehkan mereka `berjihad’ di Marawi dan menyertai operasi kumpulan IS di selatan Filipina. Pada hari ditangkap, mereka merancang untuk berjumpa di Masjid Jamek Bandar Sandakan,” katanya. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan