Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Peningkatan Tahap Keselamatan Beri Kebaikan Kepada Aktiviti Perniagaan Di ESSZone

Esszone-curfew-Fishing-boats-remain-idle-1024x576

TAWAU : Keadaan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) jauh bertambah baik sejak perintah berkurung dikuatkuasakan di kawasan itu pada Julai tahun lepas, kata Pengerusi Majlis Perniagaan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP EAGA), Datuk Roselan Johar Mohamed.

Beliau berkata keadaan itu baik bagi aktiviti perniagaan, terutama industri pelancongan di ESSZone dan kebanyakan pengusaha pelancongan berharap perintah berkurung itu terus dikuatkuasakan.

“Sebagai contoh, kini, pelancong dan pelawat ke Semporna berasa jauh lebih selamat dan yakin untuk bergerak ke sana ke mari berikutan kehadiran anggota polis dari Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan pengawal keselamatan bersenjata lain, terutama di pulau-pulau.

“Ini sesuatu yang baik bagi industri pelancongan kita dan jumlah pelancong (ke Semporna) terus meningkat,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama, Rabu.

Perintah berkurung dari 7 malam hingga 5 pagi dikenakan di kawasan tiga batu nautika dari pantai dari Sandakan ke Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna hingga ke jeti Tawau, yang melibatkan jarak 362 batu nautika dan kawasan seluas 121,270 batu nautika persegi.

Roselan berkata nelayan dan awak-awak tempatan tetap bebas untuk ke laut bagi mencari rezeki dengan syarat mereka mendapat kebenaran daripada balai polis tempatan.

“Sekiranya mereka menggunakan khidmat awak-awak asing, maka awak-awak itu perlulah mempunyai sijil sah. Tidak pula berlaku berlaku kekurangan bekalan ikan sejak itu.

“Kita perlu beri pujian kepada anggota pasukan beruniform kita yang sentiasa membuat pengawasan di laut bagi menjamin keselamatan kita dan pelawat,” katanya.

Beliau berkata pelancongan kini menjadi tonggak paling penting bagi BIMP-EAGA “kerana ia membawa masuk wang tunai ke negara ini dan kita pula perlulah lebih menghargai kehadiran mereka agar mereka menikmati keseronokan apabila berada di sini.”

“Kita perlu lebih inovatif untuk menarik pelancong ke sini. Menyediakan kemudahan inap desa di pelantar pengeringan rumpai laut adalah antara caranya kerana selain menyelam, pelancong juga boleh belajar lebih banyak tentang industri rumpai laut kita,” katanya.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan