Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Peniaga sorok rokok seludup dalam beg sekolah

ANGGOTA polis merampas 84 bungkus rokok pelbagai jenama yang disembunyikan dalam beg sekolah kanak-kanak serta lapan tin minuman keras yang disyaki dijual tanpa permit, di sebuah kedai runcit di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Tawau. – Foto Nasrawati Syarifuddin

 

TAWAU: Polis merampas 84 bungkus rokok pelbagai jenama yang disembunyikan dalam beg sekolah kanak-kanak bersama lapan tin minuman keras yang dipercayai dijual tanpa permit di sebuah kedai runcit di Kampung Kurnia Jaya, di sini, awal pagi tadi.

Serbuan pada jam 1 pagi itu dilakukan sempena Operasi Cegah Jenayah Ramadan oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Ketika serbuan, suspek berusia 18 tahun yang juga anak kepada pemilik kedai runcit itu tidak menunjukkan sebarang reaksi mencurigakan.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut dalam premis terbabit menemui 84 bungkus rokok pelbagai jenama yang disembunyikan di dalam beg sekolah kanak-kanak, selain lapan tin minuman keras di dalam petik sejuk yang diletakkan di atas timbunan minuman tin berkarbonat.

Hasil siasatan mendapati, suspek sudah lama menjalankan aktiviti menjual barangan terbabit tanpa kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan barangan dirampas untuk diserah kepada pihak kastam.

“Operasi sempena Ramadan ini akan dilakukan secara berterusan sehingga Aidilfitri bagi mengekang jenayah menjelang musim perayaan.

“Selain itu, operasi ini bertujuan mengurangkan kadar jenayah dengan memberi fokus kepada operasi berterusan secara agresif di setiap kampung, taman perumahan serta kawasan perniagaan dan industri,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 32 Akta Eksais 1976. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan