Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,799

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Peniaga Sabah Diingat Patuhi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan – Jainab

jainab

Gambar Arkib SayangSabah

PAPAR : Peniaga di Sabah diingatkan supaya mematuhi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bersempena Aidilfitri dengan menjual barang harga terkawal tidak melebihi harga maksimum ditetapkan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata peniaga juga perlu mengamalkan sikap beretika termasuk meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi barang disenarai di bawah skim itu.

“Tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini,” katanya ketika meninjau harga barang sebuah pasaraya di sini hari ini.

Jainab berkata pelaksanaan skim itu adalah bukti keseriusan kerajaan dalam menyekat kenaikan harga barang akibat permintaan tinggi ketika musim perayaan sekali gus membolehkan pengguna membeli barang keperluan pada harga berpatutan.

Katanya pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah akan berada di lokasi tumpuan membeli-belah untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

“Ini adalah tindakan berterusan bagi melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak beretika mengambil keuntungan pada musim perayaan ini,” katanya.

KPDNKK telah mengenal pasti sebanyak 21 jenis barangan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Aidilfitri di seluruh negara tahun ini yang dilaksanakan selama 21 hari berkuat kuasa semalam hingga 6 Julai ini bagi menyekat kenaikan harga tidak munasabah.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan