Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Peniaga Dihukum Gantung Bunuh Pelancong Perancis

bunuhfrance

KUANTAN: Seorang peniaga di Pulau Tioman dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh seorang pelancong wanita Perancis di rumahnya di pulau itu, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya menjatuhkan hukuman itu ke atas Asni Omar, 39, dari Kampung Tekek, Pulau Tioman selepas berpuas hati pembelaan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Asni yang berniaga peralatan berenang di Kampung Tekek didakwa membunuh Stephanie Foray, 30, di rumah tidak bernombor di Kampung Tekek, Pulau Tioman, Rompin antara 8 malam, 10 Mei dan 12 tengah hari pada 12 Mei 2011.

Pertuduhan terhadap Asni dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam penghakimannya, Mariana berkata semua alasan dan penjelasan tertuduh sepanjang perbicaraan adalah penafian semata-mata dan pengakuan tertuduh di peringkat pembelaan menunjukkan bahawa tertuduh merupakan orang terakhir berada bersama mangsa iaitu pada 10 Mei 2011.

“Pandu arah yang dilakukan tertuduh ke sebuah gua berhampiran rumah tertuduh pada 8 Ogos 2011, yang mayat Stephanie Foray disembunyikan juga adalah di dalam pengetahuan tertuduh yang mengetahui tentang kematian mangsa.

“Tidak dapat disangkal lagi penglibatan tertuduh dalam kes ini apabila barangan milik mangsa ditemui di dalam sebuah bilik di rumah tertuduh, percikan darah di dinding rumah tertuduh juga disahkan oleh Jabatan Kimia bahawa ia milik mangsa.

“Mahkamah mendapati keterangan tertuduh hanyalah cerita kosong yang telah disusun dengan baik untuk menunjukkan tertuduh tidak bersalah, namun penceritaan tertuduh hanya melemahkan kes pembelaan,” katanya.

Pihak pendakwaan memanggil 45 saksi manakala pihak pembelaan memanggil lima saksi.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah, Nor Azizah Mohamed, Farhah Nazari dan Salim [email protected] manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Ng See Teong, Mohd Hisham Abd Rahim dan Ibrahim Kamaruddin.

Peguam pemerhati kepada keluarga mangsa, Amy Ling memberitahu pemberita, kedua-dua ibu bapa Foray, Joel Foray dan Irene Mortel yang hadir mendengar keputusan itu menyatakan rasa lega kerana kematian anaknya akhirnya telah terbela.

Komen


Berita Berkaitan