Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,682

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Peniaga didenda memiliki produk tidak berdaftar

3:48pm 05/01/2016 Elezebeth Esther Onjining 106 views Jenayah,Tempatan
KOTA KINABALU- Seorang peniaga  didenda sejumlah RM 10,500 oleh Mahkamah Sesyen, disini, hari ini.
Bagi pertuduhan yang pertama, Fong Ket Chung, 49 mengaku telah memiliki 105 jenis produk kesihatan dan kecantikan yang tidak berdaftar bernilai RM 236,350 di sebuah premis di Jalan Gaya, lebih kurang jam 12.50 tengah hari, pada 28 April, tahun lalu.
Fong dihukum dibawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Komestik 1984 yang memperuntukkan denda maksimum RM 25,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, Fong juga mengaku telah memiliki racun tanpa lesen yang sah di tempat, waktu dan hari yang sama.
Bagi pertuduhan kedua itu, tertuduh telah dihukum dibawah Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 32(2) Akta yang sama yang memperuntukkan denda maksimum RM 3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam mitigasi, peguambela Chin Teck Ming yang mewakili tertuduh berkata bahawa terdahulu tertuduh telah  menjalani khidmat masyarakat di rumah orang tua di Kinarut pada bulan November, tahun 2014 selama dua bulan sebagai hukuman kepada kesalahan yang sama.
Menurut beliau lagi, kesemua barang kes yang telah dirampas pada kali ini merupakan stok dalam gudang yang dimiliki oleh tertuduh. Tertuduh cuma tidak melupuskan kesemua stok yang masih ada dalam gudangnya namun tidak berniat untuk menjual produk-produk tersebut kepada orang ramai.
Selain itu, Chin juga mohon kepada mahkamah agar denda yang minimum dikenakan ke atas tertuduh. Walaubagaimanapun, pihak pendakwaan meminta agar hukuman yang setimpal dikenakan ke atas tertuduh.
Hakim Indra Hj Ayub telah mengenakan denda sebanyak RM 8,000 atau enam bulan penjara bagi pertuduhan pertama tertuduh, manakala, denda sebanyak RM 2,500 atau tiga bulan penjara bagi pertuduhan yang kedua. -Oleh Elezebeth Esther/SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan