Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pengusaha Pelancongan Luar Bandar Disaran Bangunkan Aplikasi Pintar

KOTA BELUD: Pengusaha pelancongan luar bandar di negeri ini disaran membangunkan aplikasi yang boleh dimuat turun di telefon pintar untuk industri itu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Ewon Benedick berkata, aktiviti promosi, tempahan, soal selidik dan transaksi berkaitan boleh dibangunkan dalam satu aplikasi telefon pintar untuk kemudahan orang ramai terutamanya pelancong.

“Ini penting kerana, kebanyakan pengguna masa kini lebih banyak memilih untuk menggunakan aplikasi pintar yang boleh dimuat turun untuk pelbagai urusan berkaitan.

“Oleh itu saya, fikir ini adalah satu potensi yang boleh dibangunkan oleh para pengusaha pelancongan termasuk di Kadamaian. Ini juga merupakan sebahagian daripada revolusi perindustrian yang kini menjadi trend di seluruh dunia. Saya berharap kita tidak ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Malam Apresiasi Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA), di Dewan Kompleks Sukan Botung, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir Pegawai Daerah Kota Belud Abdul Gari Itam, Pengerusi Penganjur yang juga Pengerusi KATA, Walter Kandayon dan para pengusaha pelancongan Kadamaian.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, dalam usaha untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur, para pengusaha pelancongan boleh menggunakan aplikasi telefon pintar untuk penawaran pakej pelancongan yang lebih baik.

“Kita harus menggunakan kelebihan yang tersedia pada telefon pintar untuk memacu lagi industri pelancongan luar bandar kita. Ianya harus bergerak seiring,” katanya.

Beliau turut memuji usaha KATA menyelaras aktiviti-aktiviti urustadbir yang berkaitan dengan pelancongan luar bandar di Kadamaian.

“Daripada mula persatuan ini ditubuhkan, saya terus konsisten membantu industri pelancongan di Kadamaian sama ada melalui persatuan ini ataupun terus kepada komuniti pengusaha pelancongan di peringkat kampung. Saya komited untuk terus membantu sektor ini untuk manfaat bersama di Kadamaian terutamanya dalam penciptaan sumber pendapatan,” katanya.

Ewon berkata, sebagai Menteri KPLB, beliau akan melihat bagaimana kemudahan infrastruktur asas yang berkaitan seperti jalan luar bandar, jalan perhubungan desa (JPD) , bekalan air dan kemudahan ameniti sosial dapat dinaiktaraf.

“Kita akan bekerjasama dengan KPLB Persekutuan dan Kementerian Pelancongan Sabah untuk merancang dan melaksanakannya secara efektif dan bersepadu. Saya bersama KPLB Persekutuan meluangkan masa dua hari yang lalu untuk meninjau jalan-jalan di Kadamaian yang harus dinaiktaraf di bawah JPD,” katanya.

Dalam majlis ini juga, Ewon menyampaikan cek sumbangan berjumlah RM30,000 kepada KATA sebagai komitmen sokongan beliau kepada pembangunan pelancongan Kadamaian.

Ewon juga telah menyampaikan sijil penghargaan kepada pengusaha-pengusaha pelancongan dan individu-individu yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan pelancongan di Kadamaian.

Terdahulu itu, Pengerusi Penganjur yang juga Pengerusi KATA, Walter Kandayon berkata setakat ini sebanyak 60 pusat pelancongan di Kadamaian berdaftar dengan KATA dengan keahliah lebih 5,000 orang.

“Saya yakin pengusaha pelancongan di Kadamaian lebih daripada itu kerana masih ramai yang belum berdaftar dengan KATA,” katanya.

Walter berkata, pada tahun lalu, seramai 80,000 pelancong melawat Kadamaian dan daripada jumlah itu 10 peratus adalah pelancong asing. Manakala jumlah pendapatan pula kira-kira RM900,000.

“Setakat Julai 2018, seramai 49,000 pelancong melawat Kadamaian dengan jumlah pendapatan lebih RM500,000,” katanya./SayangSabah

Ewon ketika merasmikan Majlis Malam Apresiasi KATA.

Komen


Berita Berkaitan